Khamis, 7 November 2019 | 10:17pm
Penyerang Liverpool, Sadio Mane pada sesi pemanas badan menjelang Liga Juara-Juara. - Foto AFP

Mane sindir Guardiola

 

LONDON: Penyerang Liverpool, Sadio Mane tidak akan mengubah cara permainannya sekalipun dituduh Pep Guardiola sebagai pemain yang suka merebahkan badan.

Bos Manchester City itu melakukan dakwaan berkenaan selepas pemain Senegal terbabit dilayangkan kad kuning kerana merebahkan badan di dalam kotak penalti susulan terjahan pemain Aston Villa, Frederic Guilbert.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp tampil mempertahankan Mane dengan penyerang itu mengakui dia boleh merebahkan badannya sekiranya menerima terjahan daripada pemain lawan.

Dia turut menyindir Guardiola menjelang pertembungan dua pasukan itu di Anfield, tengah malam Isnin ini dengan berkata: "kalau boleh mendapatkan penalti, sudah tentu saya akan merebahkan badan lagi."

"Jika merebahkan badan boleh memberikan saya penalti, saya akan lakukannya. Kenapa tidak? Tetapi apa yang Jurgen katakan adalah betul kerana saya tidak merebahkan badan.

"Ada sentuhan di Villa. Mungkin ia bukan penalti dan pengadil tidak memberikannya sebaliknya melayangkan kad kuning kepada saya. Secara jujurnya, saya tidak ada masalah dengan itu.

"Itulah yang akan terus saya lakukan. Kalau penalti, ya ia penalti dan kalau bukan, ia bukan penalti tetapi ini tidak akan mengubah cara saya bermain," katanya. -AFP

Berita Harian X