Jumaat, 8 November 2019 | 2:32pm
PEMAIN Liverpool, Wijnaldum. - Foto AFP

Tuduhan Guardiola 'pelik' - Wijnaldum

LONDON: Gini Wijnaldum berkata tuduhan bos Manchester City, Pep Guardiola terhadap Liverpool yang disifatkannya ‘gemar merebahkan badan’ sebagai pelik menjelang pertembungan menarik dua pasukan teratas Liga Perdana itu, Ahad ini.

Penyandang juara, City dijadual menentang Liverpool di Anfield dengan kemenangan akan menyaksikan kelebihan pendahulu liga itu dicantas kepada tiga mata.

Selepas perlawanan liga minggu lalu, Guardiola tidak dapat menahan dirinya daripada menuduh skuad kendalian Jurgen Klopp itu memiliki ‘bakat istimewa’ terutama penyerang, Sadio Mane.

Klopp dan Mane sudah menyuarakan pandangan mereka mengenai komen berkenaan dengan penyerang Senegal itu berjenaka dia sedia  ‘merebahkan badannya’ sekali lagi jika ia dapat membantu pasukannya menang.

Sekali tidak berniat untuk menyertai ‘peperangan mulut’ itu, Wijnaldum mengakui dia terkejut dengan komen yang diberikan Guardiola.

“Saya mendengar apa yang dia katakan,” kata pemain kelahiran Belanda itu. “Dia memberikan pandangannya mengenai kami dan dengan cara dia berfikir.

“Tiada yang salah mengenainya. Ia adalah pandangannya. Pandangannya adalah Sadio gemar merebahkan badan. Apa yang kamu boleh katakan mengenainya.

“Saya tidak dapat melihat insiden itu (Mane dilayangkan kad kuning) jadi sukar untuk saya memberikan pandangan, tetapi saya langsung tidak dapat mengingati yang Sadio pernah melakukannya sebelum ini. Kini kita juga mempunyai VAR (Video Bantuan Pengadil), jadi...

“Berapa ramai pemain kami yang dilayangkan kad kuning kerana sengaja merebahkan badan? Saya fikir Sadio adalah yang pertama. Jadi untuk menuduhnya seperti itu, saya fikir ia sedikit ganjil. Tetapi itu adalah pandangannya.” - Agensi

Berita Harian X