Jumaat, 8 November 2019 | 10:15pm
Pemain Kemboja meraikan gol ketika menentang Thailand pada aksi ketiga Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Olimpik Phnom Penh, sebentar tadi.

Thailand kalah mengejut, Malaysia hanya perlu seri

KUALA LUMPUR: Tuan rumah, Kemboja mengejutkan Thailand 2-1 pada aksi ketiga Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Olimpik Phnom Penh, sebentar tadi.

Ketika ramai menjangkakan Thailand mampu memenangi aksi terbabit sekali gus mencipta perebutan bagi gelaran juara dengan Malaysia, namun Kemboja membuktikan mereka tidak boleh dipandang rendah dan menunjukkan mereka juga dibarisi pemain berkualiti.

Kekalahan pasti memberi tamparan hebat ke atas skuad Gajah Perang yang cemerlang meraih dua kemenangan berturut-turut namun situasi itu membuka peluang kepada Kemboja untuk menempatkan diri dalam kalangan empat naib juara terbaik sekali gus mara ke pusingan akhir.

Pada aksi terbabit, Kemboja tampil sebagai pasukan yang lebih baik apabila mendahului seawal minit ke-15 menerusi jaringan Met Samel sebelum Sieng Chanthea menggandakan kelebihan mereka dengan gol kedua pada minit ke-25.

Thailand berjaya merapatkan jurang pada minit ke-81 namun Kemboja ampuh bertahan untuk mengekalkan kedudukan 2-1 sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal selaku pendahulu Kumpulan G selepas meraih rekod bersih memenangi semua tiga perlawanan termasuk kemenangan 10-0 ke atas Kepulauan Mariana Utara pada aksi sebelah petang tadi.

Jadi, anak buah Brad Maloney itu kini berpeluang cerah layak ke pusingan akhir namun dengan syarat, mereka perlu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri ke atas Thailand pada aksi terakhir kumpulan, Ahad ini.

Berita Harian X