Sabtu, 9 November 2019 | 8:34am
PENJAGA gol Manchester City, Ederson. - Foto Reuters

City kempunan khidmat Ederson

MANCHESTER: Manchester City menerima tamparan hebat menjelang aksi penting menentang Liverpool, malam esok selepas penjaga gol, Ederson tidak dapat diturunkan susulan kecederaan.

Pemain antarabangsa Brazil itu terpaksa dikeluarkan pada babak kedua ketika City seri 1-1 menentang Atlanta dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin susulan kecederaan otot.

“Dia tidak boleh bermain,” kata pengurus City, Pep Guardiola ketika sidang media menjelang aksi dua pasukan tangga teratas Liga Perdana Inggeris itu.

City menamatkan perlawanan di Milan dengan tonggak pertahanan kanan, Kyle Walker menjaga gawang selepas pengganti kepada Ederson, Claudio Bravo dilayangkan kad merah ketika berbaki 10 minit permainan.

Bravo beraksi hambar pada musim pertamanya di England ketika musim 2016/2017 yang menyaksikan City menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

Penjaga gol kelahiran Chile itu digantikan dengan Ederson sebagai pilihan utama Guardiola sejak dua musim lalu dengan City berjaya muncul juara liga.

Bagaimanapun, Guardiola menolak dakwaan yang Bravo akan menjadi liabiliti kepada pasukannya di Anfield.

“Kami memenangi Piala Liga dan Piala FA hasil kecemerlangan Claudio. Dia penjaga gol yang baik. Dia juga memenangi banyak perlawanan bersama skuad kebangsaan Chile. Jadi, saya tidak meragui kemampuannya,” kata Guardiola. - AFP

Berita Harian X