Sabtu, 9 November 2019 | 9:37am
PENYOKONG menyalakan suar merah dan membaling objek seperti botol serta tin minuman ke arah bas pasukan Manchester City pada April 2018. - Foto Reuters

Polis Merseyside jamin keselamatan aksi Man City, Liverpool

LONDON: Operasi polis yang ‘komprehensif’ akan dilaksanakan bagi mencegah sebarang keganasan atau insiden ketika Manchester City membuat kunjungan ke Liverpool bagi aksi menarik Liga Perdana Inggeris, esok, kata Polis Merseyside, semalam.

Media British melaporkan timbul kebimbangan membabitkan keselamatan daripada Man City selepas tular di media sosial yang menggalakkan penyokong Liverpool berbaris ke Anfield bagi menyambut kedatangan bas pasukan itu dengan "api, air dan bendera".

Bas pasukan Man City rosak dalam insiden yang sama pada April 2018 apabila mereka tiba di Anfield bagi aksi suku akhir Liga Juara-Juara dengan penyokong menyalakan suar merah dan membaling objek seperti botol serta tin minuman.

Dua anggota polis cedera susulan insiden berkenaan dan Liverpool, yang membuat permohonan maaf ‘tanpa syarat’ kepada Man City dihukum dan didenda AS$22,036 (RM91,074) oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

“Seperti mana-mana perlawanan, operasi polis yang menyeluruh dan sesuai akan dijalankan bagi perlawanan pada Ahad ini dan kami sudah berhubung dengan kedua-dua kelab dan kumpulan penyokong mereka,” kata Superitendan Polis Merseyside,  Paul White dalam satu kenyataan.

“Kami sedar dengan mengenai satu poster di media sosial bagi mengalu-alukan kedatangan bas. Perlawanan terakhir sebelum ini berjalan lancar dan kami berusaha untuk memastikan perlawanan ini dapat dinikmati dengan selamat oleh semua serta meminimumkan sebarang gangguan kepada penduduk tempatan dan jalan raya.”

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata adalah tanggungjawab semua pihak bagi memastikan insiden itu tidak berulang.

Liverpool ketika ini memimpin carta Liga Perdana dan memiliki kelebihan enam mata di depan City serta masih belum tewas pada musim ini. - Reuters

Berita Harian X