Sabtu, 9 November 2019 | 11:01am
PEMAIN Manchester United, Anthony Martial menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Partizan Belgrade pada aksi Liga Europa, awal pagi semalam. - Foto AFP
PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford (tengah) diasak pemain Partizan Belgrade, Aleksandar Scekic (kiri) pada aksi Liga Europa, awal pagi semalam. - Foto EPA
PEMAIN Manchester United, Mason Greenwood (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Partizan Belgrade pada aksi Liga Europa, awal pagi semalam. - Foto AFP

Martial, Rashford, Greenwood beri United kelegaan

MANCHESTER: Trio penyerang Manchester United menjelmakan sinar buat masa depan kelab itu apabila masing-masing meledak gol ketika menewaskan Partizan Belgrade 3-0 dalam aksi Liga Europa, awal pagi semalam.

Gol menerusi Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood dalam perlawanan itu sememangnya sesuatu yang diharapkan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer ketika skuad bimbingannya bergelut untuk menjaringkan gol musim ini.

Ketiga-tiga pemain itu dijangka sekali lagi menjadi sandaran Solskjaer apabila United melayan kunjungan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, malam esok.

Solskjaer sedar betapa pentingnya kemenangan itu hasil pemilihan pemain yang tepat berbanding tiga perlawanan Liga Europa sebelum ini.

Pada usia 18 tahun, Greenwood memberikan harapan baharu buat The Red Devils yang mana dia dilabel sebagai penyerang semulajadi namun Martial dan Rashford tetap menjadi sandaran utama untuk menyelamatkan musim United.

Keputusan Solskjaer untuk menyingkirkan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez pada musim panas yang lalu menyaksikan dia tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian jentera serangan dengan Martial dan Rashford menjadi sandaran.

Setakat ini, Rashford sudah meledak sembilan gol musim ini dan di landasan tepat untuk mengatasi rekod peribadi terbaiknya yang menjaringkan 13 gol musim lalu.

Bagaimanapun, itu termasuk hanya satu dalam sembilan perlawanan yang mana sebahagian besarnya adalah tanpa kehadiran Martial yang mengalami kecederaan paha.

Penyerang Perancis itu merekodkan lima gol dalam tujuh perlawanan yang menyaksikan dia diturunkan dalam kesebelasan utama buat Red Devils musim ini sejak mengambil alih jersi nombor sembilan daripada Lukaku.

Bagi Solskjaer, biarpun anak buahnya melakar kemenangan selesa namun dia masih belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan ketika menentang Partizan.

"Ada masanya permainan kamu menjadi dengan barisan pemain muda dan kami memiliki pemain muda yang berkualiti.

"Kami bermain dengan baik sepanjang 60 minit perlawanan tetapi selepas itu aksi menjadi hambar. Kami masih belum konsisten daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Namun, saya percaya kami akan mencapainya. Pemain menunjukkan peningkatan dan saya fikir kami boleh mengharunginya," kata Solskjaer. - AFP

 

 

Berita Harian X