Sabtu, 9 November 2019 | 12:27pm
Pengurus Arsenal, Unai Emery (kiri) mengakui tidak tahu sama ada Granit Xhaka (kanan) akan kembali bermain bersama kelab itu selepas pemain tengah itu bertelagah dengan peminat dan dilucutkan lilitan kapten.

Emery tak pasti masa depan Xhaka

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery mengakui tidak tahu sama ada Granit Xhaka akan kembali bermain bersama kelab itu selepas pemain tengah itu bertelagah dengan peminat dan dilucutkan lilitan kapten.

Pemain kelahiran Switzerland itu tidak bermain sejak 27 Oktober lalu selepas menunjukkan rasa marahnya di Emirates dan Emery memberitahu wartawan yang dia enggan bermain menentang Leicester City, malam ini.

Emery berkata Arsenal menunggu sehingga emosi Xhaka kembali stabil untuk kembali bermain tetapi kemudian memberi bayangan dia sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku.

“Kami memerlukan pemain seperti Granit Xhaka. Tetapi saya tidak tahu jika dia akan kembali bermain atau tidak,” kata Emery. “Saya tidak tahu adakah emosinya berada dalam keadaan yang stabil untuk terus membantu kami atau terus mempertahankan jersi Arsenal.”

Ketika ditanya mengenai perpindahan musim sejuk, pengendali dari Sepanyol itu berkata dia masih belum memikirkannya kerana ia masih di awal November.

“Kami akan mengharungi banyak perlawanan pada November dan Disember. Kami tidak boleh menukarnya dalam tempoh dua bulan. Kelab akan bercakap dengannya dan kami akan memutuskan bagaimana keadaannya dan bagaimana saya fikir kami boleh menggunakannya.”

Xhaka meluahkan rasa berangnya kepada penyokong Arsenal yang mengejeknya selepas dia ditukarkan ketika kelab itu diikat 2-2 oleh Crystal Palace di Emirates bulan lalu.

Tanpa pemain tengah Dani Ceballos yang juga cedera, Emery berkata Mesut Ozil - pemain yang hanya beraksi dalam dua perlawanan liga musim ini - berada dalam perancangannya. - AFP

Berita Harian X