Sabtu, 9 November 2019 | 4:02pm
Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger. - Foto AFP
Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger. - Foto AFP

Wenger nafi ditolak Bayern

LONDON: Arsene Wenger berkata dia akan mengadakan pertemuan dengan Bayern Munich, minggu depan selepas membincangkan mengenai peranan ketua jurulatih bersama Pengerusi, Karl-Heinz Rummenigge.

Bekas pengendali Arsenal itu dikaitkan dengan jawatan jurulatih di Allianz Arena susulan pemecatan Niko Kovac.

Wenger pada minggu ini berkata dia tidak akan menolak peluang untuk berbincang dengan pengurusan tertinggi kelab gergasi Jerman itu selepas lebih setahun ‘menganggur’ sejak meninggalkan Gunners pada penghujung musim 2017-18.

Begitupun, akhbar Jerman, Sport Bild melaporkan Rummenigge sudah memberitahu Wenger yang namanya tidak berada dalam pertimbangan pasukan selepas pengendali dari Perancis itu menghubunginya secara peribadi.

Wenger begitupun cuba untuk menjelaskan spekulasi berkenaan dengan menegaskan dia dan Rummenigge bersetuju untuk bersemuka mengenai jawatan berkenaan sejurus tiba dari Doha, Qatar.

“Lebih baik jika saya menerangkan cerita sebenar kerana ia adalah berita yang mengejutkan,” kata Wenger. “Pertama sekali, saya tidak mempunyai ejen. Saya seorang diri terbabit dalam cerita ini. Tiada siapa yang bercakap bagi pihak saya.

“Keduanya, saya mengenali (Franz) Beckenbauer, Rummenigge dan (Uli) Hoeness selama 40 tahun. Kejayaan kelab ini dibina berdasarkan kecekapan luar biasa, kejujuran, kebijaksanaan dan kesederhanaan. Kami sentiasa memberitahu kebenaran antara kami apabila perlu.

“Apa yang berlaku? Nama saya dipetik entah dari mana, tanpa saya mengetahuinya. Pada petang Rabu, Rummenigge menghubungi saya. Saya tidak dapat menjawabnya ketika itu, dan untuk berlaku sopan, saya menghubunginya semula.

“Dia ketika itu berada dalam kereta bagi menonton perlawanan menentang Olympiacos. Kami bercakap selama empat ke lima minit maksimum dan dia memberitahu saya yang mereka mengarahkan Flick untuk menjadi jurulatih bagi dua perlawanan berikutnya kerana mereka akan melawan Borussia Dortmund seleaps ini.”

Mengulas lanjut, Wenger mengakui dia ditanya sama ada berminat dengan tugas berkenaan.

“Saya memberitahunya yang saya tidak pernah berfikir mengenainya. Ia memerlukan sedikit masa untuk memikirkannya. Kami akan memutuskan untuk mengadakan perbincangan pada minggu depan kerana saya berada di Doha sehingga Ahad ini. Ini adalah kebenarannya.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Bayern, yang ketika berada dalam proses perubahan. Kerana Hoeness, watak penting untuk kelab ini akan meninggalkan mereka. Rummenigge juga akan pergi dalam tempoh setahun. Kelab ini berada dalam ketidakpastian.

“Kelab ini yang sentiasa diuruskan oleh staf yang amat bijaksana dan berterus terang, hari ini amat terdedah, dengan khabar angin yang datang dari pelbagai arah. Untuk saya, saya mengucapkan selamat maju jaya untuk Bayern dan bagi saya, situasi itu sudah jelas.” - Agensi

Berita Harian X