Sabtu, 9 November 2019 | 8:42pm
Kylian Mbappe tidak berada dalam lingkungan harga Liverpool. - Foto Reuters

Mbappe terlalu mahal untuk Liverpool - Klopp

LONDON: Bintang Perancis, Kylian Mbappe tidak berada dalam lingkungan harga Liverpool, kata pengurus kelab pendahulu Liga Perdana itu, Jurgen Klopp yang juga meminati pemain itu sejak dulu.

Penyerang Paris Saint Germain berusia 20 tahun itu – yang menjadi tonggak ketika Perancis merangkul Piala Dunia 2018 – juga dikaitkan dengan Real Madrid.

Perkara ini kembali hangat awal minggu ini apabila jurulatih Real, Zinedine Zidane berkata bahawa Mbappe selalu berkata adalah menjadi impiannya untuk bermain dengan kelab Sepanyol itu.

Klopp, bercakap menjelang pertemuan dengan pasukan tangga kedua, Manchester City awal pagi Isnin ini bahawa dia berminat menandatangani Mbappe pada 2017 dan bertemu pemain itu dengan pengurusannya.

Bagaimanapun dia memilih menyertai PSG dengan nilai £158 juta pound (RM834.22 juta).

PSG sedang berusaha melanjutkan kontrak sedia ada pemain itu dan jika mereka mahu membenarkannya meninggalkan kelab itu, mereka pastinya mahu lebih daripada rekod perpindahan £198 juta pound (RM1.045 bilion) dibayar mereka kepada Barcelona untuk Neymar pada 2017.

“Membeli pemain dengan kebolehan seperti ini sangat sukar,” kata Klopp.

“Saya tidak nampak mana-mana kelab pada ketika ini boleh membeli Kylian Mbappé dari PSG.

“Saya tidak nampak mana-mana kelab. Itulah realitinya. Dan kami terbabit dalam kelab yang tidak boleh melakukannya. Semudah itu.

“OK, daripada pandangan sukan, tidak banyak sebab untuk mendapatkannya.

“Dia pemain yang hebat. Sudah tentu ia berkaitan wang. Tiada peluang. Memang langsung tiada peluang. Maaf kerana membunuh cerita itu.” - AFP

Berita Harian X