Sabtu, 9 November 2019 | 10:47pm
Reaksi Safawi Rasid selepas meraikan gol pada aksi perlawanan persahabatan bola sepak menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - NSTP/Aizuddin Saad
Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (dua dari kanan) mengasak pertahanan Tajikistan pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto BERNAMA

Tonik tambahan jumpa Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan mendapat tonik tambahan sebelum berdepan Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala 2023, Khamis ini selepas menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malah, persembahan anak buah Tan Cheng Hoe juga tampak positif apabila dilihat dapat mengimbangi permainan Tajikistan yang berada di ranking 116 dunia, berbanding Harimau Malaya di tangga 158.

Namun, mungkin masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki skuad negara menjelang aksi getir berdepan Thailand yang dilaporkan bakal membawa barisan terkuat mereka.

Penjaga gol Malaysia, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid menyelamatkan gawang daripada sepakan penjuru pemain Tajikistan. - NSTP/Aizuddin Saad

Pemain Malaysia, Shahrul Mohd Saad (kiri) cuba mendapatkan bola daripada pemain Tajikistan, Jalilov Manuchehr pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - NSTP/Aizuddin Saad

Cheng Hoe juga dilihat cuba menguji beberapa pemain kurang beraksi sebelum ini selepas merehatkan ramai pemain utama terutama pada babak pertama.

Nasib menyebelahi Harimau Malaya apabila Tajikistan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Rustam Yatimov dilayangkan kad merah pada minit ke-47 selepas pemain itu melakukan kesilapan menangkap bola di luar kotak penalti.

Peluang itu digunakan sepenuhnya Cheng Hoe dengan memasukkan beberapa tonggak utama termasuk Safawi Rasid bagi memburu jaringan.

Pemain Malaysia, Safawi Rasid melepaskan sepakan dan berjaya menjaring gol pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto BERNAMA

Usaha itu berhasil apabila Safawi meledak gol tunggal perlawanan selepas menyudahkan hantaran Brendan Gan pada minit ke-72.

Cheng Hoe dijangka akan menggugurkan tiga pemain dalam masa terdekat sebelum berdepan Thailand, Khamis ini dan Indonesia (19 November) bagi aksi kelayakan Kumpulan G dengan kedua-dua aksi itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Berita Harian X