Ahad, 10 November 2019 | 12:02am
Bekas pemain bola sepak negara, Mahadi Yusof meninggal dunia pada usia 74 tahun. - Ihsan FB Kelantan FA Team Red Warriors

Bekas pemain bola sepak negara meninggal dunia

KOTA BHARU: Bekas pemain bola sepak negara, Mahadi Yusof meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini petang tadi akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham Mahadi, 74, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, di sini kira-kira jam 10 malam ini.

Anak bongsunya daripada tiga beradik, Mohd Hafiz, 37, berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 petang tadi sebaik dimasukkan hospital sejak tengah hari akibat mengalami sesak nafas.

"Selain jantung, ayah sudah setahun menjalani rawatan dialisis buah pinggang serta turut menghidap kencing manis.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah. Ayah menghembuskan nafas terakhir di sisi kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berita pemergian lagenda bola sepak itu turut dikongsi menerusi akaun Facebook Presiden TRW Kota Bharu (TRWKB), Mohd Zainy Zain sehingga menerima pelbagai respon daripada kenalan dan netizen.

Kariernya Allahyarham bermula pada usia 12 tahun selepas mewakili Kelantan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada 1957.

Allahyarham kemudiannya mewakili Kelantan dalam Piala Rahman, Piala Burnley serta Piala Emas Raja-Raja sehingga membantu pasukannya ke perlawanan akhir menentang Perak untuk Piala Malaysia pada 1970 walaupun kalah 0-2.

Kelincahannya selaku perancang di bahagian tengah membolehkan beliau diserapkan ke dalam skuad Malaysia pada tahun 1968 sehingga membantu negara menjuarai Piala Vietnam pada 1971.

Pada 1973, Mahadi menyertai Kelab Adabi sehingga menjuarai Piala FAM menewaskan pasukan Kuantan FA.

Allahyarham kemudian kembali ke pasukan Kelantan sehingga menjuarai Piala Emas Raja-Raja pada 1977.

Selepas bersara, beliau dilantik selaku Ketua Jurulatih Kelantan selama setahun pada 1995.

Berita Harian X