Ahad, 10 November 2019 | 7:41am
JAMIE Vardy meraikan jaringan gol ketika perlawanan menentang Arsenal. - Foto Reuters

Gol Vardy, Maddison buat Gunners terduduk

LEICESTER: Jamie Vardy dan James Maddison meledak gol pada babak kedua ketika Leicester City menewaskan Arsenal 2-0 di Stadium King Power dan merampas tangga kedua Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Leicester mengumpul 26 mata dan mengatasi Chelsea menerusi perbezaan jaringan serta memiliki kelebihan satu mata di depan penyandang juara, Manchester City yang akan membuat kunjungan penting ke Anfield, tengah malam ini.

Gunners kendalian Unai Emery sudah mengharungi empat perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan dan kekalahan terbaharu itu mengundang persoalan mengenai masa depan pengurus Sepanyol itu di Emirates.

Pertemuan tampak seimbang pada babak pertama dan sekali pun terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-55, ia dibatalkan menerusi campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR).

JAMES Maddison

Tuan rumah meledak gol pertama menerusi Vardy, 13 minit kemudian yang juga gol kesembilannya dalam 10 perlawanan menentang Arsenal dan hampir meledak gol kedua pada minit ke-72 namun berjaya dinafikan Bernd Leno.

Tetapi, bekas penyerang England itu sekali lagi menampilkan ketajamannya apabila membuat umpanan kepada Maddison yang mengundang senyuman di wajah pengurus Foxes, Brendan Rodgers.

“Pertamanya adalah memberinya keyakinan,” kata Rodgers yang menyaksikan Vardy mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 11 gol. “Dia berada di sana bersama dengan penyerang terbaik di Eropah dengan apa yang dilakukannya bersama pasukan, tekanan yang dilakukannya.

“Secara asasnya kami membenarkan dia melakukan apa yang dia mahukan, bagaimana kami bermain, menjadi agresif dan bermain dengan pantas jelas sesuai dengannya. Tetapi kemampuannya untuk melakukan penyudah, klinikal, jelas amat menakjubkan.”

Emery berkata pasukannya bertahan dengan lebih tersusun ketika ini tetapi mengakui orang akan mula mempersoalkan kerja kerasnya di kelab itu.

“Saya bercakap dengan kelab untuk kekal kuat dan bangkit. Kami turut mempunyai pemain muda yang meningkat bersama kami. Kami tahu yang kami menerima kritikan, tetapi saya pernah melakukannya sebelum ini dan saya akan bangkit. Saya menerima kritikan. Ia normal.” - Reuters

Berita Harian X