Ahad, 10 November 2019 | 10:06am
PEMAIN Bayern Munich meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan Borussia Dortmund 4-0 dalam saingan Bundesliga. - Foto Reuters

Bayern garang benam Dortmund

MUNICH: Walaupun tanpa kelibat pengurus tetap, Bayern Munich tetap garang menewaskan Borussia Dortmund 4-0 dalam saingan Bundesliga dengan Robert Lewandowski terus mencetuskan fenomena apabila menjaringkan dua gol pada aksi di Allianz Arena.

Tandukan Lewandowski pada babak pertama dan minit ke-76 menyaksikan penyerang Poland itu sudah menjaringkan gol buat Bayern dalam semua aksi liga dan Liga Juara-Juara musim ini dengan rekod 23 gol.

"Kami sangat fokus, kami sedar perlu memberikan komitmen 100 peratus dan menunjukkan peningkatan," kata Lewandowski selepas bekas juara Bundesliga itu kembali bangkit daripada kekalahan memalukan 1-5 di tangan Eintracht Frankfurt.

ROBERT Lewandowski

Serge Gnabry meledak gol kedua buat Bayern manakala kapten Dortmund, Mats Hummels menjaringkan gol sendiri pada lewat babak permainan.

"Selepas 10 minit, kami membuktikan yang kami benar-benar mahukan kemenangan dalam perlawanan ini," kata seorang lagi penyerang Bayern, Thomas Mueller.

Bayern kini melonjak ke tangga ketiga liga, berkongsi mata dengan penghuni tangga kedua, RB Leipzig dan satu mata di belakang pendahulu, Borussia Moenchengladbach.

Jurulatih sementara Bayern, Hansi Flick meraih kemenangan kedua sejak mengambil alih tempat Niko Kovac yang dipecat, Ahad lalu.

"Ia bukan mudah untuk pasukan, kami tidak menjalani latihan yang banyak. Mereka sedar mereka ada tanggungjawab untuk membuktikannya dan mereka melakukannya," katanya.

Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge berkata Flick akan terus mengendalikan Bayern untuk aksi seterunya menentang  Fortuna Duesseldorf pada 23 November ini. - AFP

Berita Harian X