Ahad, 10 November 2019 | 11:25am
UNAI Emery

Arsenal perlu pecat Emery - Wright

LONDON: Arsenal perlu membuat keputusan yang 'sukar' iaitu menyingkirkan pengurus, Unai Emery susulan kekalahan kepada Leicester City, kata legenda kelab itu, Ian Wright.

Gunners tumbang 2-0 di Stadium King Power, awal pagi tadi dengan gol Foxes dijaringkan Jamie Vardy dan James Maddison yang membawa kelab itu ke tangga kedua Liga Perdana mengatasi Manchester City.

City begitupun berpeluang merampas kembali kedudukan itu jika menewaskan pendahulu, Liverpool di Anfield tengah malam ini.

Skuad kendalian Emery gagal meraih kemenangan daripada lima perlawanan terakhir dan selain kritikan terhadap jurulatih, Wright turut menggesa supaya dua penyerang kelab itu, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette angkat kaki jika situasi tidak berubah.

"Hanya satu cubaan tepat ke gawang malam ini!" kata Wright menerusi Twitter. "Dua kemanangan daripada 10 perlawanan dalam liga. Tiada gaya atau pelan yang kukuh. Perbezaan gol yang negatif. Tiada peningkatan dalam bertahan. Tidak mencipta apa-apa.

"Mengapa mereka (Lacazette atau Aubameyang) memperbaharui kontrak? Tidak boleh salahkan mereka.

"Kita perlu membuat keputusan yang sukar di Arsenal! Ia tidak menjadi bertambah baik."

Bercakap selepas perlawanan, Emery mengaku bertanggungjawab atas kekalahan itu tetapi menegaskan kualiti pertahanan skuadnya meningkat sekalipun tewas. - Agensi

Berita Harian X