Ahad, 10 November 2019 | 2:15pm
PEMAIN Leicester City, James Maddison (kiri) raikan jaringan Jamie Vardy. - Foto REUTERS

Terlalu awal label Leicester pencabar kejuaraan - Madisson

LONDON: James Maddison berkata terlalu awal untuk meletakkan Leicester City selaku pencabar kejuaraan Liga Perdana susulan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Arsenal yang membawa kelab itu ke tangga kedua liga, awal pagi tadi.

Kedudukan Leicester itu berkemungkinan dicantas selepas perlawanan Manchester City dan pendahulu liga, Liverpool malam ini tetapi kekalahan terhadap skuad kendalian Pep Guardiola bermakna Foxes akan mengharungi rehat antarabangsa di tangga kedua.

Sambil turut berharap dapat diberikan peluang beraksi buat pertama kali bersama skuad kebangsaan England, Madisson berkata dia akan terlebih dulu menonton perlawanan di Merseyside itu.

“Jangan memandang terlalu jauh,” kata pemain berusia 22 tahun itu ketika ditanya adakah Foxes kini pencabar kejuaraan selepas menewaskan Arsenal.

“Mereka adalah dua pasukan teratas liga dan saya akan menyaksikan perlawanan di atas sofa, lihat apa yang berlaku tetapi kami perlu terus berusaha untuk mendapatkan keputusan yang baik.”

Sekali pun tidak begitu teruja mengenai prospek mengulangi kejayaan musim 2015-16, Madisson mengakui persembahan pasukannya sebagai ‘cemerlang’ dengan Arsenal disifatkan masih lawan yang sukar.

“Ia adalah perlawanan Liga Perdana yang sebenar membabitkan dua pasukan berkualiti. Ada begitu banyak cakap-cakap mengenai Arsenal ketika ini tetapi kami tahu mereka berupaya menghadirkan ancaman besar dengan penyerang mereka jadi ia adalah perlawanan yang kami tidak ambil mudah.’ - Agensi

Berita Harian X