Isnin, 11 November 2019 | 1:16pm
JURULATIH Malaysia, Tan Cheng Hoe meraikan kejayaan bersama pemain simpanan selepas Malaysia menewaskan Tajikistan pada perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. NSTP/Aizuddin Saad

'Jadikan kritikan sebagai pembakar semangat'

KOLUM BILA PENYOKONG BERSUARA

MEMILIKI baki tiga lagi perlawanan di gelanggang sendiri, skuad Harimau Malaya tidak boleh lagi keciciran mata.

Kita amat memerlukan kemenangan pada setiap perlawanan di gelanggang keramat itu.

Tahniah atas kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan kelmarin. Jadikan kemenangan ini sebagai motivasi dan perangsang untuk setiap pemain.

Tan Cheng Hoe perlu memperbaiki lagi beberapa kelemahan yang ketara di bahagian jentera serangan manakala pertahanan pula perlu lebih fokus pada kelajuan dan posisi penyerang lawan.

Perancang di bahagian tengah perlu lebih kreatif dan mengurangkan kehilangan penguasaan bola kawasan ‘middle third’.

Pemain pula perlu bangkit dan tidak terpengaruh dengan pelbagai kritikan pedas segelintir netizen.

Ambil kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk buktikan dengan kemenangan.

Tetapi apa yang penting, adalah misi wajib layak ke pentas Piala Asia 2023.

Jangan kecewakan penyokong dan rakyat Malaysia yang dahagakan aksi Harimau Malaya di peringkat yang lebih tinggi.

Untuk Piala Dunia 2022 pula, sekiranya layak ke pusingan seterusnya ianya adalah satu bonus.

Kita fokus pada tahap Asia dahulu. Hanya kemenangan dengan Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini yang dapat membuka kembali peluang untuk saingan dalam Kumpulan G.

Kalah bererti kita boleh ucapkan selamat tinggal Piala Dunia. Tiada apa yang mustahil untuk mengalahkan skuad Gajah Perang.

Secara taktikalnya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang tidak jauh jurang perbezaannya.

Kita perlu gunakan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

Sekiranya semangat dan taktikal seperti yang ditampilkan ketika menentang Indonesia di Gelora Bung Karno (GBK) tempoh hari diulangi, sudah pasti kemenangan akan dikecapi.

Ayuh penyokong setia Harimau Malaya, semboyan sudah berbunyi, penuhkan setiap sudut Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bukan sekadar kritik di media sosial sahaja. – Oleh Mohamad Azam Hadi (penyokong Harimau Malaya)

Berita Harian X