Isnin, 11 November 2019 | 6:24pm
Pemain Arsenal, Alexandre Lacazette (depan) bersaing dengan pemain Leicester City, Jonny Evans pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. - Foto REUTERS

Lacazette pertahan Emery

LONDON: Penyerang Perancis, Alexandre Lacazette mempertahankan pengurus Arsenal yang tertekan, Unai Emery sambil berkata penyokong hanya mengkritiknya dan tidak memujinya apabila mereka melalui tempoh yang bagus musim lalu.

Tekanan terhadap pengendali berusia 48 tahun dari Sepanyol itu semakin meningkat selepas tewas 2-0 di tangan Leicester kelmarin menyebabkan Gunners hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana dan lapan mata daripada tangga keempat yang juga tempat untuk layak ke Liga Juara-Juara. 

Emery juga terpaksa berdepan kemarahan beremosi Granit Xhaka terhadap penyokong apabila dia dikeluarkan ketika menentang Crystal Palace dua minggu lalu. Pengendali dari Sepanyol itu juga melucutkan tugasan kapten pemain antarabangsa Switzerland itu.

Lacazette bagaimanapun berkata walaupun keyakinan pemain menurun, rehat perlawanan antarabangsa memberikan mereka peluang untuk menambah tenaga menjelang perlawanan di laman sendiri berdepan Southampton pada 24 November.

“Musim lalu apabila kami tidak tewas 20 perlawanan berturut-turut tiada siapa berkata mengenai jurulatih atau pengurus,” kata Lacazette.

“Kami hilang keyakinan dan kami perlukan rehat perlawanan antarabangsa. Saya harap kami akan kembali dengan baik. Kami mahu kedudukan empat teratas, itu sudah tentu.” - AFP

 

 

Berita Harian X