Selasa, 12 November 2019 | 8:00am
Unai Emery. - Foto Reuters

Emery masih selamat

LONDON: Pengurusan tertinggi Arsenal masih menyokong pengendalinya, Unai Emery tetapi turut memberi amaran kelab itu perlu segera memperbaiki keputusan, lapor media Britain, semalam.

Jawatan Emery di Emirates goyah selepas Arsenal hanya menang dua daripada 10 perlawanan terakhir Liga Perdana termasuk ketika tewas 2-0 kepada Leicester City, Sabtu lalu.

Begitupun, bos-bos kelab itu termasuk Ketua Bolasepak, Raul Sanllehi dan Pengarah Urusan, Vinai Venkatesham tiada mempunyai perancangan ketika ini untuk menukar pengurus. 

“Kami cukup percaya Unai adalah lelaki yang tepat untuk jawatan ini,” lapor BBC yang memetik kenyataan kedua-duanya kepada lebih 200 staf kelab itu dalam satu mesyuarat, semalam.

“Kami turut kecewa seperti orang lain, kedua-duanya dengan keputusan dan juga prestasi kita pada tahap ini musim ini. Kami berkongsi kekecewaan dengan peminat, Unai, pemain-pemain dan semua staf tidak berada di tahap yang kami mahu atau jangkakan.

“Semuanya perlu meningkat untuk mencapai objektif kami pada musim ini. Kami semua bekerja keras di belakang tabir untuk mengubah situasi dan kamu yakin mampu melakukannya.”

Emery, 48, dilantik sebagai pengganti Arsene Wenger pada Mei 2018 dan musim pertamanya berakhir dengan kekalahan 4-1 dalam final Liga Europa kepada Chelsea dan terlepas kedudukan empat teratas Liga Perdana.

Arsenal setakat ini mengumpul 17 mata daripada 12 perlawanan dan ketinggalan lapan mata daripada kedudukan untuk layak ke Liga Juara-Juara. - Reuters

Berita Harian X