Selasa, 12 November 2019 | 2:45pm
Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - NSTP/Aizuddin Saad

Kim Swee yakin Kuzain mampu selesai isu pasport

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee optimis bintang muda Malaysia yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dapat menyelesaikan masalah pasportnya untuk mewakili skuad berkenaan pada saingan Sukan SEA Filipina 2019 yang bermula pada 25 November ini.

Kim Swee mendedahkan beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa pemain kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu dapat beraksi dalam Sukan SEA 2019, namun beliau difahamkan pemain berusia 21 tahun itu sedang berusaha menyelesaikan masalah pasportnya.

"Jika semuanya berjalan lancar, Wan Kuzain akan tiba sebelum penghujung minggu ini (di tanah air), dan jika beliau tidak menyelesaikan dokumen tertentu, atau mendapatkan jalan keluar terbaik bagi kedua-kedua pihak, kemungkinan Wan Kuzain akan terkeluar daripada pasukan B-22 kebangsaan," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad B-22 kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Kim Swee memaklumkan enam pemain skuad B-18 negara termasuk seorang muka baharu, iaitu penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil bakal melaporkan diri untuk sesi latihan skuad B-22 kebangsaan pada Khamis ini setelah beraksi pada pusingan kelayakan Kejuaraan B-19 2020 di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.

"Saya memberi waktu rehat supaya mereka kekal cergas apabila bersama kita pada Khamis nanti.

"Saya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Petaling Jaya City FC pada Jumaat ini, dan daripada perlawanan itu, saya akan menggugurkan beberapa pemain dan seperti saya katakan (sebelum ini), bukan slot automatik dan mereka harus bersaing. Jika mereka menunjukkan prestasi terbaik dalam latihan mahupun perlawanan persahabatan, mereka akan terpilih," jelas Kim Swee.

Wan Kuzain yang beraksi dengan pasukan bola sepak utama (MLS) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City sebelum ini dilaporkan menyatakan hasrat beraksi dengan dengan skuad B-22 kebangsaan memandangkan saingan MLS berhenti rehat.

Pemain muda berkenaan yang masih memegang pasport Malaysia, bagaimanapun dilaporkan berdepan dengan masalah selepas pasportnya dikatakan telah tamat tempoh dan beliau perlu kembali ke negara ini secepat mungkin untuk memperbaharuinya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, bakal memulakan kempen menentang Myanmar pada 25 November Filipina (29 November), Timor-Leste (2 Disember), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember.

Kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Juara bertahan, Thailand pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei dan kesemua perlawanan berkenaan akan diadakan di Stadium Binan, Laguna.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik dari Kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijangka berlangsung pada 7 Disember ini.

- BERNAMA

 

Berita Harian X