Rabu, 13 November 2019 | 12:30pm
Gareth Southgate (kiri) menyisihkan Raheem Sterling pada perlawanan antarabangsa menentang Montenegro di Wembley esok. - Foto fail Reuters

Pesta England mungkin terjejas tanpa Sterling

LONDON: Hasrat England meraikan perlawanan antarabangsa ke-1,000 menentang Montenegro di Wembley esok sekali gus layak ke Kejohanan Euro 2020 boleh terjejas apabila Gareth Southgate menyisihkan Raheem Sterling.

Sayap Manchester City itu digugurkan selepas dia bergaduh dengan pertahanan Liverpool, Joe Gomez ketika berlatih di kem latihan England kelmarin susulan terbawa-bawa dengan keputusan perlawanan liga yang menyaksikan City kalah 1-3 di tangan Liverpool.

Sterling menjadi wira Three Lions sepanjang kempen kelayakan namun ia tercemar dengan insiden tak diduga itu hingga kes berkenaan menjadi bualan di luar padang.

Meskipun kalah mengejut di tangan Republik Czech bulan lalu, England telah memperagakan watak selaku pencabar kejuaraan Euro 2020 musim panas tahun depan sekali gus peluang terbaik menamatkan kamarau gelaran selama 54 tahun.

Sterling sudah menyumbat lapan daripada 26 gol untuk England sehingga dia dicanang antara pemain terbaik dunia untuk kelab dan skuad kebangsaan sejak England layak ke separuh akhir Piala Dunia di Russia 18 bulan lalu yang juga pencapaian terbaik Three Lions.

Selain itu, Sterling juga pemain paling lantang England menyuarakan bantahan ke atas gelagat negatif penyokong berkaitan isu perkauman yang menimpa beberapa pemain ketika berdepan Montenegro dan Bulgaria.

Dia juga berdiri teguh menyatu padukan pemain England bersama Southgate sejak jurulatih itu mengambil alih pasukan tiga tahun lalu.

Namun, England kini berdepan ujian paling berat apabila emosi pemain Liverpool dan City dalam pasukan kebangsaan itu tampak gagal dikekang ketika mereka bersama di atas padang.

Difahamkan, Southgate ada niat menyingkir terus Sterling tapi terpaksa membatalkannya selepas campur tangan beberapa pemain lain terutama kapten Liverpool, Jordan Henderson, yang membantu meredakan ketegangan sekali gus membolehkan Sterling kekal dalam skuad dan kembali meneruskan latihan.

"Saya selalu mencari langkah terbaik mengatasi cabaran peringkat kumpulan dan ia kerja paling sukar,” kata Southgate, semalam.

"Sepanjang tiga tahun bersama, kami memiliki persefahaman yang baik sehingga membantu kami kekal bersatu sehingga hari ini.

"Kami adalah satu pasukan yang bersatu padu. Kini kami perlu berikan sepenuh tumpuan kepada bola sepak. 

“Kami masih ada tugasan penting untuk mara ke Kejohanan Eropah ini.”

Sterling dalam pada itu sudah memohon maaf kepada Gomez dan semua rakan sepelatih yang lain semalam.

“Saya dan Joe masing-masing bertelagah dan saya menyelesaikanya,” kata Sterling.

“Kami berada pada kemuncak emosi dan saya berani akui emosi itu lebih menguasai saya.

“Kerana itu kami bermain sukan ini, kerana kami sayangkannya – saya dan Joe Gomez OK, kami berdua faham ia berlaku tiba-tiba... ia sudah selesai, kami menyelesaikannya dan tidak menjadikan ia lebih rumit.

“Mari fokus untuk perlawanan kami Khamis ini (esok),” kata Sterling.

Sterling dijangka kembali beraksi pada Ahad apabila England berkunjung ke gelanggang Kosovo untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Tiket England terjamin jika seri menentang Montenegro atau Kosovo kalah di tangan Republik Czech esok.

Southgate biarpun akur tanpa Sterling, namun tetap mengharapkan sentuhan daripada Harry Kane, Jadon Sancho dan Marcus Rashford mampu menjamin kemaraan dengan meledak gol lawan.

Namun, tindakan Southgate menyisihkan Sterling dikritik banyak pihak dengan anggapan isu peribadi tu tidak wajar diperbesarkan hingga menyebabkan sayap City iu kini menjadi perhatian ramai.

"Kenapa hal ini tidak diselesaikan peringkat dalaman? kata bekas pertahanan England, Rio Ferdinand.

"Sekarang Raheem terpaksa mempertahankan dirinya dari serangan haters yang akan berterusan menjadikan dia duta berharga bola sepak Inggeris.”

Menurutnya, Southgate sepatutnya memerlukan khidmat Sterling untuk menamatkan segera kemarau panjang England.

Kini persoalan mulai timbul apakah kesudahan impak hubungan sesama pemain skuad itu akan terus berjalan baik selepas kejadian luar jangka itu.  – AFP

Jadual Kelayakan Euro 2020

ESOK

Kumpulan A 

England mln Montenegro

Rep Czech Republic mln Kosovo

Kumpulan B

Serbia mln Luxembourg

Portugal mln Lithuania

Kumpulan H

Turki mln Iceland

Perancis mln Moldova

Albania mln Andorra

JUMAAT

Kumpulan D 

Switzerland mln Georgia

Denmark mln Gibraltar

Kumpulan F

Norway mln Faroe Islands

Sepanyol mln Malta

Romania mln Sweden

Kumpulan J

Finland mln Liechtenstein 

Armenia mln Greece 

Bosnia mln Itali

Berita Harian X