Rabu, 13 November 2019 | 12:47pm
Dani Olmo mengakui dia amat mengimpikan dapat beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol meskipun dipancing Croatia. - Foto EPA

Sepanyol sentiasa di hati Dani Olmo

MADRID: Pemain tengah Dinamo Zagreb, Dani Olmo mengakui dia amat mengimpikan dapat beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol meskipun dipancing Croatia.

Graduan Akademi Bolasepak Barcelona itu menyertai Zagreb pada 2014 dan layak mewakili skuad kebangsaan Croatia, namun hasrat mewakili negara kelahirannya tidak pernah luput.

Minggu ini impian pemain berusia 21 tahun itu tercapai apabila jurulatih Sepanyol, Robert Moreno menyenaraikan namanya dalam skuad Euro 2020 untuk berdepan Malta dan Romania.

Olmo sebelum ini bekerja keras memastikan status warga negaranya tidak menjejaskan peluangnya mewakili negara asal kelahirannya iaitu Sepanyol.

"Saya bangga berada di Croatia, satu daripada pasukan kebangsaan terhebat di dunia, mereka mahukan khidmat saya pada bila-bila masa.

“Tapi saya adalah warga asal Sepanyol dan bermain untuk pasukan negara saya sendiri menjadi satu impian sekian lama,” kata Olmo kepada Radio MARCA.

"Sebagai pemain bola sepak memang menjadi impian dapat mewakili pasukan kebangsaan. Saya mesti bekerja keras supaya tidak terlepas peluang itu.”

Olmo sudah menjaring tiga gol untuk Sepanyol dalam kempen Kejohanan B-21 Eropah awal tahun ini manakala membantu Dinamo menjulang tujuh trofi dalam empat musim.

Meskipun ada laporan dia turut dipancing Manchester City, Manchester United dan kelab lamanya, Barcelona, Olmo belum memikirkan langkah masa depannya.

"Saya baru berusia 21 tahun, saya masih ada masa lama untuk kaki ini memijak padang bola,” katanya.

"Ejen dan bapa saya menghalang saya daripada bercakap mengenai isu perpindahan dan saya hanya fokus kepada aksi permainan bola sepak.

"Saya kini berada dalam detik hebat sama seperti sebelumnya apabila layak ke final dan kami semakin hampir menjuarainya sekali lagi.”

Sepanyol akan berdepan pasukan tercorot Kumpulan F, Malta di Cadiz, esok.

Sepanyol ketika ini menghuni tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 20 mata daripada lapan perlawanan tanpa kalah. – Agensi

Berita Harian X