Rabu, 13 November 2019 | 1:52pm

Nasir, Arif milik skuad Terengganu

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) kian bernafsu apabila mengikat bekas arkitek skuad kebangsaan, Nasir Basharuddin dan bekas bek kental FELDA United, Arif Fadzillah Abu Bakar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Dalam kenyataan media dikeluarkan media rasmi TFC, kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad Penyu.

Pengalaman luas dimiliki dua pemain itu berjaya menarik minat barisan jurulatih TFC untuk 'merantai' pemain itu.

Nasir, 29, adalah bekas ketua pasukan dan pemain tonggak Perak manakala Arif, 23, adalah bekas pemain T-Team sebelum beraksi bersama pasukan TFC II (2018) dan kemudian mewakili FELDA United pada musim ini.

Arif yang pernah menyarung jersi skuad bawah 23 tahun kebangsaan adalah anak jati Kampung Kubu, Marang dan antara pemain kesayangan bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.

"Mereka memiliki pengalaman luas dalam kancah liga tempatan khususnya Nasir yang pernah menyarung jersi Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Arif akan mengukuhkan bahagian pertahanan manakala kemasukan Nasir pastinya memantapkan lagi jentera tengah TFC," ujar ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain.

Kehadiran dua pemain itu bakal mengisi posisi yang ditinggalkan bek kiri, Adib Aizuddin Ab Latif dan pemain tengah kelahiran Selangor, Khairu Azrin Khazali.

Sebelum ini, TFC pantas mengikat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli bagi menggantikan Thierry Chantha Bin dari Kemboja bagi kuota Asean.

Berita Harian X