Rabu, 13 November 2019 | 6:17pm
Jurulatih pasukan Thailand, Akira Nishino (kiri) dan kapten pasukan Thailand, Siwarak Tedsungnoen ketika sidang media perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Harimau Malaya tak gerun Gajah Perang

 

BUKIT JALIL: Status pengendali Thailand, Akira Nishino selaku jurulatih pernah memacu Jepun di Piala Dunia 2018 tidak menggerunkan Harimau Malaya sebaliknya ia akan jadi ‘modal’ buat pemain negara untuk mencipta kejutan.

Bagaimanapun, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe akui tugas berat menanti anak buahnya untuk menghadapi skuad Gajah Perang pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

“Untuk perlawanan esok, ia adalah perlawanan penting menentang Thailand yang membawa skuad terkuat, berbeza berbanding tahun lalu (di Piala AFF). Lawan Tajikistan dan Thailand adalah perlawanan berbeza dan kami akan dapatkan barisan terbaik.

“Thailand ada jurulatih yang hebat dan pernah ke Piala Dunia. Ia akan beri motivasi kepada pemain namun dalam masa sama, kami kena waspada dan siap sedia terutamanya di jentera serangan mereka.

“Mereka ada pemain muda dan juga berpengalaman. Jadi kami perlukan semua sokongan untuk hadapi perlawanan ini,” katanya ketika sidang media pra perlawanan hari ini.

Ketika ini, Harimau Malaya memerlukan mata maksimum dalam dua perlawanan di gelanggang sendiri, bermula aksi dengan Thailand diikuti Indonesia, Selasa depan.

Ketika ditanya mengenai posisi mungkin kritikal dan memerlukan penambahbaikkan segera, Cheng Hoe nyata lebih selesa menumpukan peningkatan secara menyeluruh.

Malah, pengendali itu juga tidak mahu menumpukan kepada individu tertentu daripada pasukan lawan kerana kesemuanya mampu mencipta sesuatu sekiranya pemain negara hilang fokus.

“Saya tidak boleh katakan kritikal tetapi saya mahu tingkatkan keseluruhan pasukan di semua posisi. Saya harapkan pendekatan terbaik untuk menentang pasukan yang lebih baik.

“Chanathip (Songkrasin) sudah lama bersama pasukan Thailand, pemain yang kreatif dan berpengalaman bermain di Jepun. Kita kena beri tumpuan secara menyeluruh kerana mereka hadir dengan pasukan terkuat,” katanya.

Berita Harian X