Rabu, 13 November 2019 | 9:40pm
KETUA Jurulatih Skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe (dua, kanan) bersalaman dengan Ketua Jurulatih Thailand Akira Nishino (dua, kiri) selepas sidang media Pra Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil hari ini. Turut serta, Ketua pasukan kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak (kanan) dan Ketua pasukan Thailand Siwarak Tedsungnoen (kiri). - Foto BERNAMA

Harimau Malaya perlu yakin, jangan gentar hadapi Gajah Perang

KOTA BHARU: Skuad kebangsaan Harimau Malaya perlu yakin dan jangan gentar menghadapi skuad Gajah Perang yang dibarisi pemain beraksi di Liga Eropah dan Jepun pada perlawanan keempat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Ketika memberi kata-kata semangat itu, bekas pemain kebangsaan Mohd Hashim Mustapha, 53, berkata sungguhpun pada kertas pasukan Thailand itu dibarisi pemain beraksi di Liga Eropah dan Jepun namun ini  tidak menjamin mereka boleh  dengan  mudah menewaskan pasukan negara.

“Bola sepak ialah perlawanan 11 pemain menentang 11 pemain, oleh itu pemain negara perlu yakin akan kemampuan sendiri dan mempunyai semangat berpasukan untuk mencipta kejutan.

“Begitu juga semangat juang yang tinggi perlu ada dalam diri setiap pemain kerana saya melihat pasukan negara ketika ini berjaya mempamerkan peningkatan dari aspek permainan dan dengan  semangat juang yang tinggi saya yakin mereka mampu memberi saingan sengit,” kata Mohd Hashim yang beraksi dalam skuad kebangsaan antara 1984 hingga 1986.

Skuad negara  ketika ini berada di tangga keempat kumpulan dengan tiga mata manakala Thailand yang dibimbing jurulatih dari Jepun Akira Nishino berada di kedudukan pertama kumpulan dengan memperolehi tujuh mata.

Pada saingan Kumpulan G, pasukan kebangsaan diundi bersama tiga pasukan lain iaitu Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

Mohd Hashim berkata pasukan negara juga mempunyai barisan pemain yang berkualiti terutamanya empat naturalisasi yang mampu memberikan sumbangan besar kepada pasukan.

“Keempat-empat pemain itu diharapkan dapat digunakan sepenuhnya malam esok untuk memperkuatkan cabaran kepada pasukan lawan yang mempunyai perubahan taktikal di bawah bimbingan Akira Nishino.

“Jangan sia-siakan peluang menjaringkan gol kerana pasukan memerlukan kemenangan untuk membawa bekalan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Mohd Hashim turut menasihatkan anak buah Tan Cheng Hoe supaya  berwaspada dengan taktikal yang akan digunakan pasukan lawan.

“Perlu berhati-hati malam esok berikutan pemain pasukan lawan dibarisi oleh pemain berbeza berbanding ketika pasukan Kebangsaan menentang pasukan itu pada perlawanan Piala AFF tahun lalu.

“Jika Piala AFF mereka (Thailand) tidak menyenaraikan skuad terbaik kerana komitmen bersama kelab masing-masing di Eropah dan Jepun namun kali ini mereka membawa pasukan terbaik untuk mencari kemenangan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X