Khamis, 14 November 2019 | 7:24am
Pengurus England, Gareth Southgate. - Foto AFP

Bukan untuk popular - Southgate

LONDON: Pengurus England, Gareth Southgate membalas kritikan susulan tindakannya menggugurkan Raheem Sterling menegaskan dia tidak menyelesaikan masalah dengan berfikir bagaimana untuk menggembirakan semua orang.

Pengendali berusia 49 tahun itu menyisihkan penyerang Manchester City itu bagi aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi esok bertemu Montenegro selepas dia bergaduh dengan pertahanan Liverpool Joe Gomez di kem latihan pasukan, Isnin lalu.

Sterling mengakui membenarkan emosi menguasainya selepas 24 jam City ditewaskan 3-1 oleh Liverpool yang mengukuhkan kedudukan pendahulu itu di puncak Liga Perdana.

Southgate mendapat pujian berikutan tindakan pantasnya sekali pun bekas pertahanan England, Rio Ferdinand turut berpendapat insiden itu sepatutnya diselesaikan secara tertutup.

Begitupun, Southgate yang juga bekas pertahanan England dan pasukannya boleh mengesahkan tempat ke Euro 2020 dengan keputusan seri pada perlawanan ke-1,000 Three Lions berkata keputusan yang diambil adalah terbaik untuk pasukan.

“Semua orang mempunyai pandangan mengenai keputusan yang kamu ambil dan hanya sesiapa yang terbabit dalam situasi itu akan tahu mengenai perinciannya,” kata Southgate.

“Jika kamu cuba untuk membuat keputusan untuk cuba menggembirakan semua orang ia tidak akan berhasil juga. Pasukan sentiasa keutamaan saya,” katanya yang menggambarkan skuad kendaliannya sebagai satu keluarga.

Southgate berkata pasukannya mampu menangani ketiadaan Sterling dan pemain yang sudah meledak lapan gol dalam enam perlawanan kelayakan Euro 2020 itu akan kembali bermain dalam perlawanan menentang Kosovo, awal pagi Isnin ini. - AFP

Berita Harian X