Khamis, 14 November 2019 | 7:52am
Pemain Senegal, Sadio Mane (kiri) mengawal bola di depan pemain Congo dalam aksi pembukaan Piala Negara-Negara Afrika di Thies, Senegal. - Foto AFP

Senegal langkah kanan, Cameroon diikat Cape Verde

CAPE TOWN, Afrika Selatan: Senegal yang dikuatkan dengan penyerang Liverpool, Sadio Mane menewaskan Congo 2-0 pada aksi pembukaan Piala Negara-Negara Afrika ketika pasukan gergasi lain dari benua Afrika itu bergelut mencari rentak, semalam.

Nigeria hanya meraih kemenangan 2-1 ke atas pasukan tetangga, Benin manakala Cameroon, yang juga tuan rumah pusingan akhir kejohanan diikat tanpa jaringan oleh Kepulauan Cape Verde di laman sendiri.

Assan Cessay meledak dua gol dalam tempoh dua minit untuk membantu Gambia yang mencipta kejutan dengan menewaskan Angola 3-1 yang menjadi kemenangan pertama kelayakan pasukan itu di gelanggang lawan.

Turut mencatat kemenangan adalah Republik Afrika Tengah, Guinea Bissau, Malawi, Namibia dan Sudan manakala negara pergunungan kecil Lesotho mengikat Sierra Leone 1-1 di gelanggang lawan.

Senegal yang juga naib juara Piala Negara-Negara Afrika tahun ini di Mesir menewaskan Congo 2-0 di gelanggang sendiri dengan gol dijaringkan Sidy Sarr dan Habib Diallo pada babak pertama berpunca umpanan Sadio Mane.

Nigeria terpaksa bangkit daripada ketinggalan selepas sembilan minit perlawanan berlangsung di Uyo apabila Benin membuka tirai jaringan menerusi Stephane Sessegnon sebelum menyamakan kedudukan menerusi penalti Victor Osimhen dan gol kemenangan Samuel Kalu.

Bagi Cameroon, ini adalah kali keempat daripada lima perlawanan mereka mencatat keputusan seri di bawah kendalian jurulatih baharu, Toni Conceição.

Sementara itu, Angola bermula dengan baik apabila terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Wilson Eduardo namun dua jaringan daripada penyerang FC Zurich, Cessay dan gol ketiga Sulayman Marreh memastikan kemenangan Gambia.

Gambia sebelum ini tidak pernah menang dalam 39 perlawanan di tempat lawan dalam aksi kelayakan termasuk tewas di Luanda, dua bulan lalu dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022. - Reuters

Berita Harian X