Khamis, 14 November 2019 | 10:16am
Penunjuk perasaan disembur air oleh anggota keselamatan di Santiago, Chile. - Foto Reuters

Pemain Chile tolak aksi persahabatan susulan krisis

SANTIAGO, Chile: Pemain bola sepak kebangsaan Chile enggan beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Peru, minggu depan berikutan krisis yang sedang melanda negara itu, kata Persekutuan Bolasepak Chile (ANFP) dalam satu kenyataan, semalam.

Jurulatih, Reinaldo Rueda melepaskan semua pemainnya kepada kelab masing-masing.

Chile dijadual menentang pasukan jiran, Peru yang menewaskan mereka di separuh akhir Copa America di Brazil pada Julai lalu di ibu negara Peru, Lima pada Selasa ini.

“Kami semua adalah pemain bola sepak tetapi lebih daripada itu kami juga adalah manusia dan rakyat (Chile),” kata kapten Chile, Gary Medel, yang beraksi di posisi pertahanan bersama kelab Itali, Bologna.

“Ketika ini Chile lebih utama berbanding perlawanan pada Selasa nanti.”

Keputusan itu diambil selepas ‘mesyuarat pasukan’, pagi semalam di pusat latihan Chile yang terletak di pinggir bandaraya Santiago, kata ANFP.

Badan induk itu kemudian berkata mereka sudah memberitahu kepada rakan sejawat di Peru mengenai keputusan berkenaan.

Ketika tiba di Lima selepas dilepaskan kelab masing-masing pada awal minggu ini, segelintir pemain meluahkan rasa kurang senang untuk beraksi dalam perlawanan berkenaan dan turut menyuarakan sokongan mereka terhadap gerakan yang menggesa Presiden, Sebastian Pinera meletakkan jawatan.

Demonstrasi yang bermula pada 18 Oktober dan turut bertukar ganas itu sehingga kini sudah meragut 21 nyawa termasuk lebih 2,000 orang mengalami kecederaan. - AFP

Berita Harian X