Khamis, 14 November 2019 | 11:09am
Arsene Wenger dinamakan Ketua Pembangunan FIFA.

Wenger akhiri kekeliruan

LAUSANNE, Switzerland: Bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger kembali ke arena bola sepak selepas dinamakan Ketua Pembangunan Bolasepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Pelantikan itu sekali gus menamatkan spekulasi membabitkan jawatan pengurus di kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

FIFA berkata pengendali dari Perancis itu akan bertanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak ‘lelaki dan wanita seluruh dunia’ dan turut mengetuai ‘hal-hal teknikal dan penguatkuasaan’ termasuk potensi perubahan dalam undang-undang sukan berkenaan.

Ia turut menambah Wenger, 70, diberi tanggungjawab terhadap pendidikan kejurulatihan dan membantu membina program bagi menolong pemain memasuki arena pengurusan.

“Saya tidak sabar untuk memulakan tanggungjawab yang amat penting ini,” kata Wenger dalam satu kenyataan. “Bukan saja kerana saya sentiasa minat untuk menganalisa bola sepak dari sudut yang lebih luas, tetapi kerana misi FIFA sebagai badan induk bola sepak dunia yang benar-benar global.”

Khabar angin mengenai kepulangan semula Wenger ke arena pengurusan meningkat selepas dia menafikan dakwaan Bayern Munich yang menyatakan kelab itu menolak cubaannya untuk menggantikan tempat Nico Kovac.

Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge kemudian berkata terhadap ‘salah faham’ dan gergasi Bundesliga itu akan mengadakan pertemuan dua mata dengan Wenger ‘pada masa terdekat.’

Wenger dilantik susulan peletakan Ketua Pengarah FIFA, Marco van Basten tahun lalu serta Timbalan Setiausaha Agungnya, Zvonimir Boban yang menjadi Ketua Pegawai Bolasepak AC Milan pada Jun. - AFP

Berita Harian X