Khamis, 14 November 2019 | 12:30pm
Hamidin menuntut Harimau Malaya menunjukkan 'taring' sebenar ketika menentang Thailand pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Ihsan FB FAM
Hamidin menuntut Harimau Malaya menunjukkan 'taring' sebenar ketika menentang Thailand pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Ihsan FB FAM

Hamidin tuntut Harimau Malaysia tampil kualiti sebenar

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menuntut Harimau Malaya menunjukkan 'taring' sebenar ketika menentang Thailand pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Mata maksimum begitu diperlukan bagi mencerahkan peluang Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

"Sudah tentu saya begitu kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga di Hanoi, 10 Oktober lalu. Permainan kita ketika itu bukan pada tahap sebenar seperti apa yang ditampilkan pada perlawanan menentang Indonesia dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) sebelum itu.

"Jadi untuk perlawanan menentang Thailand malam ini, saya mahu para pemain bangkit semula daripada kekalahan kepada Vietnam itu dan apa yang ditampilkan ketika kita menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, Sabtu lalu harus dipertingkatkan lagi dengan menampilkan kekuatan sebenar bertemu Thailand ini.

"Kita mahukan kemenangan malam ini. Jadi pemain perlu tampil dengan lebih garang, agresif dan tunjukkan taring dan semangat harimau yang sebenar, lebih-lebih lagi kita akan beraksi dengan dibantu sokongan padu puluhan ribu penyokong sendiri," katanya ketika hadir bersarapan bersama pemain skuad Harimau Malaya.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan serta penolong pengurus, Datuk Posa Majais.

Ketika ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berada di tangga keempat Kumpulan G selepas mengutip tiga mata.

Hamidin turut menyeru 'ekor Harimau' supaya hadir ke stadium bagi memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada para pemain.

"Tunjukkan yang anda semua pemain yang bagus dan memiliki kualiti untuk menewaskan Thailand, malam ini," katanya.

Berita Harian X