Jumaat, 15 November 2019 | 11:38pm
PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid merangkul Pemain Paling Bernilai (MVP) sempena Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 19 di Hotel Tenera, Bangi. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Safawi pertahan gelaran MVP

BANGI: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) selepas dinobatkan sebagai pemenang anugerah itu buat kali kedua pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 (ABK 19) yang berlangsung di sini, sebentar tadi.

Pemain berusia 22 tahun itu pernah muncul sebagai pemain termuda merangkul gelaran MVP selepas memenanginya pada ABK tahun lalu.

Lebih manis buat pemain kelahiran Dungun, Terengganu apabila dia turut merangkul dua lagi anugerah – Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular.

Kejayaan Safawi merangkul tiga anugerah itu turut membantu pasukannya, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendominasi ABK 19.

Penyerang JDT, Akhyar Rashid dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan dan Diogo Luis Santo menerima anugerah Pemain Import Terbaik.

Ia disusuli penjaga gol JDT, Farizal Marlias dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik manakala ketua pasukan Harimau Selatan, Hariss Harun dipilih sebagai Pemain ASEAN Terbaik.

Pemain naturalisasi pertama negara yang kini mewakili Pahang, Mohamadou Sumareh pula dipilih sebagai pemenang Pemain Tengah Terbaik manakala pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh merangkul anugerah Jurulatih Terbaik.

Sementara itu, pemain Perak, Shahrul Saad dinobatkan selaku Pertahanan Terbaik sekali gus mempertahankan anugerah yang dimenanginya pada tahun lalu.

Pemilihan calon ABK dibuat menerusi Jawatankuasa Saringan sebelum pemenang ditentukan oleh 23 jurulatih, 23 kapten dan 23 wakil media tempatan.

Bagi pemenang kategori utama anugerah MVP ditentukan menerusi undian lima anggota jawatankuasa yang dilantik.

Senarai Pemenang ABK 19

Pemain Paling Bernilai: Safawi Rasid (JDT)

Penyerang Terbaik: Safawi Rasid (JDT)

Pemain Tengah Terbaik: Mohamadou Sumareh (Pahang)

Pertahanan Terbaik: Shahrul Saad (Perak)

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)

Jurulatih Terbaik: Dollah Salleh (Pahang)

Pemain Muda Harapan: Akhyar Abdul Rashid (JDT)

Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)

Pemain Import Terbaik: Diogo (JDT)

Kasut Emas: Fernando Rodriguez (Kedah)

Pemain Paling Popular: Safawi Rasid (JDT)

Pasukan Terbaik: JDT

Penyokong Terbaik: JDT

Pemain Terbaik AFL Liga M3: Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (Kelantan United FC)

Pasukan Terbaik AFL Liga M3: Armed Forces FC

Anugerah Mesra Media: B. Satiananthan (Selangor)

Anugerah Fair Play: Terengganu FC II

Media Sosial Terbaik: JDT

Laman Web Terbaik: johorsoutherntigers.com.my

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super): Safawi Rasid (8) JDT

Penjaring Terbanyak (Liga Super): Kpah Sherman (14) PKNS FC

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Premier): Bobby Gonzales (9) Sarawak

Penjaring Terbanyak (Liga Premier): Zarko Korac (13) UiTM FC

Anugerah Pengadil Berpotensi: Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah

Anugerah Komuniti: The Ohana Project

Berita Harian X