Sabtu, 16 November 2019 | 10:34am
PEMAIN Sepanyol, Alvaro Morata menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Malta pada aksi kelayakan Euro 2020 di Cadiz, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Sepanyol belasah Malta

CADIZ, Sepanyol: Sepanyol mendaki ke kedudukan teratas Kumpulan F dengan penuh gaya apabila membelasah Malta 7-0 di laman sendiri awal pagi tadi yang juga kemenangan terbesar mereka pada kempen kelayakan Euro 2020 apabila tujuh pemain mencatat nama selaku penjaring.

Sepanyol mengesahkan tempat ke kejohanan tahun depan bulan lalu apabila seri 1-1 berdepan Norway dan Sweden namun mereka mencipta kemeriahan di Cadiz dengan gaya permainan menyerang yang menakjubkan.

Sepanyol mendahului kedudukan dengan 23 mata daripada sembilan perlawanan, lima mengatasi pasukan tangga kedua, Sweden yang mengesahkan kemaraan ke Euro 2020 dengan kemenangan 2-0 mengatasi Romania.

Alvaro Morata meletakkan Sepanyol di depan pada pertengahan babak pertama diikuti gol pertama Santi Cazorla buat negaranya selepas lebih empat tahun.

PEMAIN Sepanyol, Juan Bernat beraksi dalam perlawanan menentang malta pada aksi kelayakan Euro 2020 di Cadiz, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Pertahanan Pau Torres menandakan kemunculan pertamanya dengan gol pada minit ke-62 dan Pablo Sarabia juga menyumbang gol sulung buat Sepanyol seminit kemudian.

Penyerang Dinamo Zagreb, Dani Olmo juga masuk dari bangku simpanan untuk penampilan pertama dan tidak lama kemudian menjaringkan gol kelima pasukan manakala Gerard Moreno juga menjaringkan gol pertamanya buat Sepanyol sebelum Jesus Navas meledak gol ketujuh.

“Saya meninggalkan padang dengan sangat berpuas hati kerana kami tidak pernah hilang keinginan. Setiap kali Malta mahu kembali mendapat rentak kami segera mencari gol tambahan,” kata pengendali, Robert Moreno.

“Adalah sesuatu yang bagus apabila pemain baru masuk dan membawa tenaga baru bersama mereka. Saya gembira dengan apa ditunjukkan pemain yang membuat penampilan pertama dan menjaringkan gol kerana ia menunjukkan pasukan sudah bersedia membuat pembaharuan.” - Reuters

PEMAIN Sepanyol, Santi Cazorla diasak pemain Malta, Brandon Paiber pada aksi kelayakan Euro 2020 di Cadiz, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X