Sabtu, 16 November 2019 | 11:35am
Pengendali England, Gareth Southgate (kanan) bersama pemainnya, Raheem Sterling. - Foto eurosport.com

Southgate bawa kembali Sterling berdepan Kosovo

PRISTINA: Gareth Southgate sudah bersedia membawa kembali Raheem Sterling buat England selepas diketepikan sementara untuk kelayakan Euro 2020 berdepan Kosovo awal pagi Isnin ini ketika dia mahu menamatkan kontroversi berkaitan bintang Manchester City itu dengan Joe Gomez.

Sterling digugurkan untuk saingan menentang Montenegro selepas bergaduh dengan rakan sepasukan England, Gomez di kantin latihan skuad Three Lions.

Dipercayai Sterling tidak gembira dengan Gomez selepas percakaran dengan pertahanan Liverpool itu ketika City tewas di Anfield minggu lalu.

Walaupun Sterling digugurkan ketika berdepan Montenegro sebagai hukuman kerana menyerang Gomez, Southgate mengesahkan pemain sayap itu akan kembali bagi saingan terakhir England dalam Kumpulan A.

Dengan England sudah memastikan mereka layak ke Euro 2020 di kedudukan teratas kumpulan, Southgate sudah merancang untuk membuat perubahan, walaupun dia mahu memastikan England menamatkannya dengan kemenangan kerana mensasarkan kedudukan selaku enam pasukan pilihan untuk kejohanan tahun depan.

“Kami akan membuat sedikit perubahan, sudah tentu, tetapi kedudukan dalam kumpulan boleh menjadi kritikal dan kami tahu ia malam yang besar buat Kosovo,” kata Southgate.

“Adalah memalukan buat mereka kerana tersingkir daripada kelayakan, walaupun mereka masih perlu melalui play-offs yang saya rasa mereka akan menjadi ancaman besar dalam format itu.

“Jadi ia akan menjadi ujian yang bagus buat kami kerana suasananya masih baik.” - AFP

Berita Harian X