Ahad, 17 November 2019 | 12:13am
Pemain Malaysia meraikan kemenangan ketika menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tiada alasan Harimau Malaya tewaskan Garuda

APABILA PENYOKONG BERSUARA

 

Wow!!! Terbaik!!! Itulah ungkapan yang terpacul setelah berakhirnya perlawanan kelmarin. 

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada barisan pemain yang menampilkan corak permainan yang jitu serta tidak berputus asa walaupun ketinggalan pada minit ketujuh hasil jaringan bintang sensasi Thailand, Chanathip Songkrasin. 

Gegak gempita Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi akan bergema tatkala dua seteru utama musuh tradisi Malaysia dan Indonesia bertemu pada hari Selasa nanti.

Pasukan Indonesia hadir dengan status tewas kesemua perlawanan pusingan pertama Kumpulan G. Mereka kembali untuk memulihkan maruah yang tercalar setelah mereka tewas 3-2 tempoh hari. Bak kata segelintir peminat fanatik mereka, kalah dengan pasukan lain tidak mengapa tetapi jangan kekalahan itu kepada Malaysia. 

Pasukan Indonesia kali ini menampilkan beberapa muka baharu dengan menggugurkan beberapa tonggak seperti Andik Vermansyah serta Saddil Ramdhani. Secara keseluruhan permainan skuad Indonesia sepanjang tempoh kelayakan ini menampilkan permainan 'counter attack' yang menitik beratkan penggunaan pemain sayap untuk menyelusup masuk ke kubu lawan. Skuad ini juga baru sahaja mendapat keyakinan tinggi selepas berjaya menumbangkan kelab PKNS (Bawah 21) 3-0 dalam perlawanan pemanas badan kelmarin. 

Skuad negara dilihat perlu berhati-hati dengan perang psikologi yang akan dilancarkan oleh pemain Sang Garuda memandangkan kita sudah kehilangan penyerang berbakat Syafiq Ahmad serta Matthew Davies yang digantung perlawanan akibat menerima kad kuning yang sia-sia. 

Gandingan Azam Azih-Brendan Gan-Syamer Kutty Abba amatlah ditagih dan menepati corak permainan kini. Kita mesti tingkatkan serangan lebih berkualiti di bahagian sayap dengan kelebihan yang ada pada Mohamadou Sumareh serta Safawi Rasid seperti mana yang mereka lakukan semasa menentang Thailand. 

Malaysia seharusnya mengamalkan permainan seperti biasa yang mana menekankan aspek 'deep pressing' untuk menggagalkan penguasaan bola pemain Indonesia. Dalam masa yang sama aspek teknikal ditekankan di dalam 'attacking third' pasukan lawan. 

Pemain seperti Corbin Ong dan Syahmi Safari seharusnya perlu melakukan seberapa banyak 'crossing' ketika membantu overlapping kepada penyerang Malaysia. Di situlah kelebihan yang harus digunakan sebaik mungkin oleh Norshahrul Idlan. 

Gandingan Aidil Zafuan Radzak - Shahrul Saad semakin mantap di benteng pertahanan. Berbekalkan pengalaman serta kesungguhan pada perlawanan kelmarin, jelas kelihatan mereka mampu memberi perangsang kepada 'back four' pasukan negara yang sebelum ini dilihat sedikit bermasalah.

Sorakan gegak gempita dari 'ekor' Harimau Malaya akan mengiringi perlawanan ini nanti. Ayuh 'Pahlawan Harimau Malaya' kita mampu tewaskan 'Sang Garuda' sekali lagi.

Ramalan: Malaysia vs Indonesia (2-0 )

 

Penulis Hamshahril Hamdan adalah penyokong tegar Harimau Malaya.

Berita Harian X