Ahad, 17 November 2019 | 8:19am
PEMAIN Belanda, Donny van de Beek (kanan) mengasak pemain Ireland Utara, Craig Cathcart pada aksi kelayakan Euro 2020 di Windsor Park, Belfast, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Belanda kembali ke pentas Euro 2020

BELFAST: Belanda mengesahkan tempat ke Euro 2020 selepas mereka terselamat daripada penalti Steven Davis ketika seri 0-0 berdepan Ireland Utara awal pagi tadi.

Skuad kendalian Ronald Koeman tiba di Windsor Park menyedari satu mata sudah mencukupi bagi memastikan mereka layak daripada Kumpulan C.

Mereka mencapai sasaran itu dibantu nasib yang baik apabila kapten Ireland Utara, Davis menyepak penalti tinggi melepasi palang pada babak pertama.

PEMAIN Ireland Utara, Steven Davis membuat sepakan penalti dalam perlawanan menentang Belanda pada aksi kelayakan Euro 2020 di Windsor Park, Belfast, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Belanda gagal layak pada Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 jadi ini adalah saat yang indah buat negara memiliki warisan bola sepak kaya itu.

Mereka berkedudukan kedua kumpulan, dua mata di belakang pendahulu Jerman berbaki satu perlawanan.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk mengakui saat paling penting ialah penalti gagal disempurnakan Davis.

“Ia perlawanan yang sukar. Dia tidak bernasib baik, bagus untuk kami! Pemain sangat gembira dalam bilik persalinan. Kami kembali ke kejohanan utama,” katanya. - AFP

Berita Harian X