Ahad, 17 November 2019 | 8:24am
PEMAIN Croatia, Nikola Vlasic mengasak pemain Slovakia, Juraj Kucka pada aksi kelayakan Euro 2020 di Rijeka, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Croatia benam Slovakia, mara ke Euro 2020

RIJEKA, Croatia: Croatia layak ke Euro 2020 selepas jaringan babak kedua Nikola Vlasic, Bruno Petkovic dan Ivan Perisic membantu kebangkitan untuk kemenangan 3-1 di laman sendiri berdepan Slovakia pada saingan Kumpulan E awal pagi tadi.

Keputusan itu memberikan Croatia 17 mata daripada lapan perlawanan ketika mereka melengkapkan kempen manakala tiga lagi pasukan di belakang masih berpeluang ke kejohanan tahun depan yang menawarkan 24 tempat.

Pasukan tangga kedua, Hungary (12 mata) akan berkunjung ke pasukan tangga ketiga Wales (11 mata) awal pagi Rabu ini dalam saingan sengit untuk dua tempat teratas dengan kemenangan akan menyaksikan pasukan akan layak.


PEMAIN Croatia, Bruno Petkovic meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Slovakia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Rijeka, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Seri akan menyaksikan pasukan tangga keempat Slovakia (10 mata), yang akan menanti kehadiran pasukan terbawah Azerbaijan pada perlawanan terakhir, untuk mara kerana mereka ada rekod pertembungan lebih baik berdepan Hungary.

Jurulatih Croatia Zlatko Dalic, yang membantu pasukan itu bergelar naib juara pada Piala Dunia 2018 gembira dengan keputusan itu.

“Saya bangga dan tahniah kepada pemain kerana menang kumpulan dan kempen kelayakan,” katanya.

“Saya tidak bimbang apabila kami ketinggalan kerana kami bermain baik dan ia lebih mudah selepas kami menyamakan kedudukan.

“Pujian juga kepada penyokong yang datang beramai-ramai dan saya harap kami boleh memberikan lebih kegembiraan kepada Croatia pada Kejohanan Eropah.” - Reuters

Berita Harian X