Ahad, 17 November 2019 | 9:19am
PEMAIN Belgium, Eden Hazard cuba melepasi pertahanan pemain Russia, Aleksey Ionov pada aksi kelayakan Euro 2020 di St Petersburg, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Adik-beradik Hazard musnahkan Russia

ST PETERSBURG, Russia: Belgium memastikan kedudukan teratas Kumpulan I kelayakan Euro 2020 dan melebarkan rekod sempurna mereka kepada sembilan kemenangan selepas dua gol Eden Hazard dan satu daripada adiknya, Thorgan membantu kemenangan 4-1 di Russia awal pagi tadi.

Berbaki satu perlawanan, Belgium sudah mengumpul mata maksimum 27 manakala pasukan tangga kedua, Russia, 21, kedua-duanya sudah layak ke kejohanan disertai 24 negara itu tahun depan.

Walaupun sudah layak, perlawanan bermula dengan pantas dan Thorgan memberikan jaringan pertama pelawat pada minit ke-19 apabila dia mengatasi pencabarnya dan meledak ke penjuru gawang.


PEMAIN Belgium, Thorgan Hazard (kanan) diasak pemain Russia, Magomed Ozdoev pada aksi kelayakan Euro 2020 di St Petersburg, awal pagi tadi. - Foto EPA

Eden menjadikannya 2-0 pada minit ke-33 apabila melepaskan voli rendah mengatasi penjaga gol Russia kelahiran Brazil, Guilherme sejurus selepas penyerang Romelu Lukaku menanduk kepada kaptennya itu.

Dia kemudiannya menggandakan jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama dengan pemain tengah Kevin De Bruyne mengumpan untuk Hazard meledak ke gawang yang sudah kosong dari jarak 12 meter.

Hanya penyudah kurang sempurna Lukaku dan dua aksi menyelamat terbaik Guilherme menafikan kemenangan lebih besar Belgium pada sejam pertama ketika Russia gagal mencipta peluang di depan penyokong sendiri.

Belgium kembali meledak pada minit ke-72 apabila Lukaku membalas kesilapannya dengan menyepak kencang dari jarak 16 meter mengatasi Guilherme.

Georgi Dzhikiya akhirnya menggembirakan sedikit penyokong tuan rumah apabila menemui gawang pada minit ke-79. - Reuters


PEMAIN Belgium, Eden Hazard (kiri) dan Thorgan Hazard meraikan jaringan pasukan mereka dalam perlawanan menentang Russia di St Petersburg, awal pagi tadi. - Foto EPA

Berita Harian X