Ahad, 17 November 2019 | 11:57am
Saddil Ramdani. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Saddil tinggalkan Tok Gajah

KUANTAN: Pemain import Pahang dari Indonesia, Saddil Ramdani mengucapkan selamat tinggal apabila mengesahkan tidak lagi bersama skuad Tok Gajah sebaik berakhir Liga Malaysia (Liga M) musim ini.  

Bekas pemain Persela Lamongan itu berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) sepanjang semusim bersama skuad Tok Gajah.  

"Begitu juga kepada barisan kejurulatihan dan pegawai, penyokong dan rakan sepasukan yang banyak memberikan semangat dan bimbingan.  

"Pada masa sama, ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di luar negara bersama skuad Pahang iaitu sebagai pemain import.  

"Saya mendoakan semoga Pahang berada pada prestasi terbaik dalam saingan Liga M musim depan," katanya di laman Instagram.  

Musim ini, Saddil antara pemain import baharu menjadi taruhan skuad kendalian Dollah Salleh untuk memperkasakan posisi tengah.  

Namun, prestasi tidak konsisten dipersembahkan pemain berumur 20 tahun itu menyaksikan jodoh pemain tengah itu tidak panjang.  

Difahamkan, Saddil menandatangani kontrak selama dua musim yang berakhir 2020 tetapi ia ditamatkan lebih awal.  

Selain Saddil, Safuwan Baharudin dari Singapura juga tiada lagi dalam perancangan skuad Tok Gajah musim depan.  

Bagaimanapun, kedudukan tiga lagi pemain import iaitu Dickson Nwakaeme, Herold Goulon dan Lazarus Kaimbi kini menjadi tanda tanya.  

Jika dilihat kepada prestasi, tiga pemain itu mempamerkan prestasi memberangsangkan dan kini hanya menunggu pengesahan rasmi PBNP.

Berita Harian X