Ahad, 17 November 2019 | 7:17pm
FELDA United FC mengesahkan Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran masih kekal menjadi gelanggang rasmi.

FELDA tetap pilih STAR

KUANTAN: FELDA United FC mengesahkan Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran masih kekal menjadi gelanggang rasmi kelab itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Agungnya, Afizal Abu Othman berkata, tiada perancangan untuk menukar gelanggang rasmi The Fighters itu.

"Setakat ini, STAR tetap menjadi pilihan pengurusan kelab untuk memastikan The Fighters terus beraksi dan melakar kejayaan,” kata Afizal.

"Pada masa sama, kelab ini juga berjaya untuk menarik kehadiran peminat bola sepak untuk memberi sokongan kepada The Fighters.

"Ia dapat disaksikan dengan penambahan penonton di stadium musim ini."

The Fighters mula menjadikan STAR sebagai stadium rasmi pada tahun 2016 sehingga kini.

Stadium bernilai RM92 juta itu dibuka secara rasmi pada 15 Disember 2015 dan boleh memuatkan kira-kira 25,000 penonton. 

Antara kemudahan disediakan termasuk padang rumput tiruan, bilik persalinan, ruang parkir yang luas dan gimnasium.

Musim ini, tanpa barisan pemain `ternama', The Fighters yang membariskan pemain muda tetap memberi tentangan sengit kepada pasukan lebih berpengalaman.

Pencapaian terbaik kelab itu ialah layak ke separuh akhir Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10.

Bagi saingan Piala Malaysia pula, misi FELDA United untuk melakar kejutan tersekat di peringkat kumpulan.

Berita Harian X