Ahad, 17 November 2019 | 7:20pm
Pemain tengah kebangsaan, Faiz Mohd Nasir kembali memperkuat skuad Terengganu FC. - NSTP/Asyraf Hamzah

Faiz kembali perkuat TFC

KUALA TERENGGANU: Pemain tengah kebangsaan, Faiz Mohd Nasir kembali memperkuat skuad Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan media rasmi TFC hari ini, pemain berusia 27 tahun itu sah bakal memperkuatkan skuad Penyu musim depan dalam mengharungi saingan liga yang kian mencabar.

“TFC mengumumkan telah menandatangani kontrak selama setahun dengan seorang lagi pemain iaitu Faiz Nasir untuk bersama pasukan TFC musim depan sambil berharap kehadiran pemain itu mampu memperkuatkan pasukan untuk musim Liga Super 2020,” kata kenyataan itu.

Pemain lincah itu membantu skuad Penyu mara ke pentas final musim lalu selain menjadi `permata’ bernilai buat pasukan di bawah kendalian bekas pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim.    

Bagaimanapun konflik dengan pegawai Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyebabkan pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Kelab Bolasepak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan FELCRA FC membawa diri ke Selangor musim ini.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain mengakui kehadiran semula pemain kelahiran Kelantan itu pasti memantapkan lagi jentera tengah pasukan dalam misi untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim depan.

“Seperti yang kita maklum, Faiz pernah bersama TFC sebelum ini dan pemain itu mempunyai kelebihan yang tersendiri, saya yakin Faiz mampu memberi impak positif dan mampu memperkuatkan pasukan,” kata Nafuzi.

Minggu lalu, TFC mengumumkan sudah mengikat bekas arkitek Perak, Nasir Basharuddin dan bekas bek kiri FELDA United, Arif Fadzillah Abu Bakar.

Kehadiran Faiz dan Nasir bakal memantapkan lagi jentera tengah pasukan bergandingan dengan pemain kacukan England-Malaysia, Lee Tuck dan pemain terbaik Uzbekistan musim ini, Sanjar Shaakmedov.

Berita Harian X