Isnin, 18 November 2019 | 7:21am
PEMAIN England, Harry Winks mengasak pemain Kosovo, Atdhe Nuhiu pada aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Fadil Vokrri, awal pagi tadi. - Foto AFP

England mudah atasi Kosovo

PRISTINA: Gareth Southgate percaya England masih boleh meningkat walaupun menang 4-0 mengatasi Kosovo awal pagi tadi yang memastikan mereka berada dalam kelompok enam pasukan pilihan pada Euro 2020.

Skuad kendalian Southgate mengesahkan tempat ke Euro 2020 dengan membelasah Montenegro 7-0 awal pagi Jumaat lalu dan mereka menamatkan kempen kelayakan yang dominan dengan mengetepikan Kosovo di Pristina hasil jaringan Harry Winks, Harry Kane, Marcus Rashford dan Mason Mount.

Walaupun England tidak berada di tahap terbaik, ia memberikan mereka kedudukan selaku juara Kumpulan A, tempat yang seharusnya membantu mereka mengelak pasukan handalan dalam pusingan akhir nanti.

PEMAIN England, Harry Kane diasak pemain Kosovo, Ibrahim Dresevic pada aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Fadil Vokrri, awal pagi tadi. - Foto AFP

Gol sulung Winks buat England, dalam penampilan keenam, menjadi saat penting sebelum jaringan babak kedua Kane dan Rashford serta gol sulung Mount di peringkat antarabangsa.

Dengan tiga daripada perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 dan separuh akhir serta final akan dilangsungkan di England, pasukan layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018 itu akan ke undian pada 30 November selaku antara pilihan merangkul trofi.

Walaupun gembira dengan gaya permainan menyerang pasukan, Southgate menegaskan pasukannya mesti lebih bagus di pertahanan.

PEMAIN England, Marcus Rashford diasak pemain Kosovo, Benjamin Kololli pada aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Fadil Vokrri, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Ia perlawanan yang sengit dan ujian bagus buat kami. Ia padang yang sukar dengan pemain tergelincir dan hantaran tidak menjadi,” kata Southgate.

“Kami memberikan mereka peluang. Pada malam yang lain, itu boleh mendatangkan masalah. Cara permainan perlu kami lihat kembali. Terlalu banyak pemain tidak dijaga dalam kotak penalti.” - AFP

PEMAIN England, Mason Mount (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Kosovo pada aksi kelayakan Euro 2020 di Stadium Fadiil Vokrri, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X