Isnin, 18 November 2019 | 1:09pm
Pemain negara menjalani sesi latihan hari ini menjelang perlawanan menentang Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Perkhidmatan LRT dilanjutkan sehingga jam 1 pagi

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi Rabu ini, sempena pertembungan dua musuh tradisi bola sepak iaitu Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali sistem rel transit dalam satu kenyataan, berkata pihaknya bersetuju melanjutkan perkhidmatannya di stesen LRT Bukit Jalil bagi memudahkan penyokong Harimau Malaya dan Garuda hadir memberi sokongan.

Bagaimanapun, stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing.

“Tiga laluan bas Rapid KL juga akan dilanjutkan perkhidmatan dan bas terakhir akan berlepas pada jam 1 pagi (Rabu).

“Laluan yang dilanjutkan perkhidmatannya adalah stesen LRT Awan Besar-Batu 3 Jalan Klang Lama, stesen LRT Awan Besar Taman Teknologi Malaysia melalui Stesen LRT Bukit Jalil dan stesen LRT Awan Besar Salak Selatan melalui Bukit Jalil,” katanya.

Pertembungan dua musuh tradisi Asia Tenggara itu adalah sempena kelayakan Piala Dunia 2020 dan Piala Asia 2023 selepas Malaysia menumbangkan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September lalu.

“Kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan LRT dinasihatkan untuk menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan lebih lancar.

“Bagaimanapun, penyokong yang ingin memandu pada malam perlawanan itu, mereka boleh meletakkan kenderaan di stesen LRT berdekatan dengan stadium yang menyediakan perkhidmatan parkir antaranya Stesen LRT Muhibbah, Awan Besar dan Sri Petaling,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X