Isnin, 18 November 2019 | 5:35pm
JURULATIH pasukan bola sepak Indonesia, Yeyen Tumena memantau pamainnya pada sesi latihan rasmi menjelang perlawanan menentang Malaysia bagi kelayakan Piala Dunia peringkat Kumpulan G, pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Yeyen tak gentar gempita Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Kehadiran puluhan ribu penyokong Harimau Malaya seakan langsung tidak menghadirkan rasa gerun kepada Indonesia untuk menghadapi aksi kelima Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jali, malam esok.

Ketua Jurulatih Indonesia, Yeyen Tumena berkata anak buahnya 'sudah masak' dengan kehadiran penyokong yang ramai.

"Biasanya kehadiran penyokong di Indonesia juga ramai, tidak kira dengan skuad kebangsaan tetapi juga membabitkan aksi peringkat kelab.

“Tekanan oleh penyokong Malaysia menambahkan semangat pemain kami," katanya ketika sidang media pra perlawanan sebentar tadi.

Tiket perlawanan timbal balik Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 membabitkan kedua-dua pasukan  habis terjual.

Pada masa sama, pengendali yang menggalas tugas ditinggalkan Simon McMenemy bertegas yang dia adalah berjiwa pahlawan.

"Kami adalah perajurit dan bila diminta untuk ke depan, tidak boleh kata tidak jika ianya adalah urusan negara.

“Ada perkara yang perlu kami baiki dan soal tekanan, ianya pasti ada tanpa mengira apa jenis pertandingan.

"Setiap kali berada di lapangan, sama ada menang atau pun kalah.

“Ini aksi yang berat buat kami kerana bertandang ke tempat lawan ketika Malaysia kini berada dalam situasi penuh yakin," katanya.

Sementara itu, kaptennya, Yanto Basna meminta penyokong kedua-dua pasukan tidak memanjangkan persengketaan hingga ke luar stadium.

"Kami siap sedia untuk menghadapi perlawanan ini. Indonesia dan Malaysia adalah sama.. biarlah hanya 90 minit kita membela negara masing-masing dan selepas itu, kita kekal bersaudara," katanya.

 

Berita Harian X