Selasa, 19 November 2019 | 7:50am
PEMAIN Itali, Ciro Immobile (tengah) beraksi dalam perlawanan menentang Armenia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Palermo, awal pagi tadi. - Foto AFP

Itali aibkan Armenia

PALERMO, Itali: Ciro Immobile dan Nicolo Zaniolo masing-masing meledak dua gol ketika Itali melengkapkan kempen kelayakan Euro 2020 dengan rekod sempurna selepas membelasah Armenia 9-1, awal pagi tadi.

Itali yang sudah pun layak ke pusingan akhir melakar kemenangan ke-11 berturut-turut dalam saingan antarabangsa di bawah kendalian Roberto Mancini ketika juara dunia empat kali itu mempamer kebangkitan selepas gagal layak ke Piala Dunia tahun lalu.

Skuad kendalian Mancini memenangi kesemua 10 perlawanan dalam Kumpulan J dan mengesahkan tempat selaku pasukan pilihan menjelang sesi undian Euro 2020 yang dijadual berlangsung pada 30 November ini di Bucharest.

“Mari nikmati 10 perlawanan yang kita menangi ini, ia tidak pernah berlaku dan ia adalah perkara yang menakjubkan,” kata Mancini, 54. “Pendekatan kami terhadap permainan tepat dan kamu tidak boleh menjaringkan sembilan gol hanya dengan nasib.

PEMAIN Itali, Nicolo Zaniolo menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Armenia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Palermo, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Kami memiliki tempoh enam bulan untuk bersedia bagi Kejuaraan Eropah, kami perlu memperbaiki beberapa perkara, kemudian berdepan kesukaran untuk meninggalkan beberapa pemain kerana mereka semua layak berada di sana.

“Mereka semua adalah pemain muda yang meningkat dalam setiap perlawanan, ia hanya memerlukan masa. Semua pemain memberikan segala-gala yang mereka miliki, saya mendapat jawapan yang saya mahukan daripada mereka.”

Immobile, 29, membuka tirai jaringan seawal minit kelapan sebelum menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-33 manakala Zaniolo, 20, yang juga pemain Roma, meledak gol pada minit kesembilan dan ke-64.

Nicolo Barella, 22, turut meletakkan namanya selaku penjaring selain Alessio Romagnoli, Jorginho, Riccardo Orsolini dan Federico Chiesa manakala gol sagu hati Armenia dijaringkan Edgar Babayan 10 minit sebelum perlawanan berakhir. - AFP

PEMAIN Itali, Federico Chiesa (dua dari kanan) diasak pemain Armenia, Artak Grigoryan (tiga dari kanan) dan Hovhannes Hambardzumyan (kanan) pada aksi kelayakan Euro 2020 di Palermo, awal pagit adi. - Foto AFP

Berita Harian X