Selasa, 19 November 2019 | 11:17am
Wan Kuzain Wan Kamal. - Foto ihsan Ooi Kin Fai

Kuzain bangga sarung jersi Malaysia

KUALA LUMPUR: “Saya bangga diberi peluang menyarung jersi Malaysia!” 

Itu keterujaan yang dikongsi pemain tengah kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal selepas kembali ke tanah air untuk menyertai sesi latihan skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2019.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui peluang mewakili Malaysia sememangnya memberi erti yang besar buat dirinya dan dia akan berusaha keras untuk merebut tempat dalam senarai akhir ke temasya dwitahunan yang akan berlangsung di Manila, hujung bulan ini.

“Satu makna yang besar apabila mewakili negara kerana ia bukan setakat mewakili diri kita sendiri namun juga keluarga dan seluruh negara. Saya akan tunjukkan bahawa saya berbangga menyarung jersi Malaysia. 

“Saya akan cuba bersaing dan cuba lakukan apa yang saya tahu. Saya tahu saingan di sini sememangnya sengit dan saya akan terus bekerja keras,” katanya pada sesi latihan di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Dalam masa sama, semangat pemain tengah Sporting Kansas City itu jelas membara apabila mahu membantu pasukan negara beraksi dengan cemerlang pada temasya itu.

“Setiap kali bermain bola sepak, sudah tentu kita mahu menang dan semua pasukan mahu menang di Sukan SEA. Tetapi saya lihat tidak ada sebab kita tidak mampu memenanginya.

“Semua pemain di sini juga baik dan seperti keluarga kerana mereka memperkenalkan saya kepada setiap orang walaupun saya tidak begitu mengenali mereka,” katanya.

 

 

Berita Harian X