Selasa, 19 November 2019 | 12:28pm
PENGENDALI skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Aizuddin Saad

Beri Kuzain ruang - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Pengalaman beraksi di luar negara yang dimiliki Wan Kuzain Wan Kamal jelas menjadi aset paling berharga dengan kemasukannya pasti memberi manfaat kepada skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) pada Sukan SEA 2019 nanti.

Bagaimanapun, pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee menegaskan pemain kelahiran Amerika Syarikat itu perlu diberi ruang secukupnya untuk menyesuaikan diri memandangkan ini kali pertama dia terbabit dengan kancah bola sepak Malaysia.

“Dia baru sampai ke sini jadi berikan dia masa. Apa yang pasti, kemasukannya sememangnya dapat membantu pasukan kita. Pengalamannya akan memberi faedah kepada kita bukan sahaja untuk jangka masa pendek tetapi untuk jangka masa panjang. 

“Kita tahu dia bukan setakat beraksi dengan kita namun berkemungkinan besar dia akan beraksi untuk kita pada masa akan datang,” katanya pada sesi latihan di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam.

Dalam masa sama, Kim Swee menjelaskan beberapa perkara akan dilihat untuk dijadikan pertimbangan bagi memastikan pemain berusia 21 tahun itu benar-benar sesuai dengan corak permainan yang diterapkan pasukan itu.

“Perkara pertama yang akan saya lihat adalah kombinasi bersama pemain kerana beberapa pemain daripada skuad kebangsaan akan tiba selepas ini. Jadi amat penting untuk saya melihat kombinasi mereka bersama.

“Perkara kedua adalah aspek luar padang di mana saya mahu dia serasi bersama pemain tempatan kerana kombinasi itu bukan hanya diperlukan setakat di atas padang,” katanya.

Berita Harian X