Selasa, 19 November 2019 | 12:30pm
Gareth Southgate. - Foto Reuters

Euro 2020 tentukan nasib Southgate

LONDON: Gareth Southgate berkata persembahan England di Euro 2020 berkemungkinan menjadi penentu sama ada dia akan terus mengemudi skuad Three Lions di Piala Dunia 2022 atau tidak.

“Ia akan banyak bergantung terhadap bagaimana persembahan kami pada musim panas depan,” kata Southgate yang akan bertandang ke Qatar bagi menilai pemainnya di Liverpool yang akan beraksi dalam saingan Piala Dunia Kelab.

“Apabila kamu memperoleh minggu yang kamu inginkan, kamu dapat rasakan yang orang mula menggemari kamu,” katanya merujuk kritikan yang diterimanya kerana menggugurkan Raheem Sterling susulan masalah disiplin.

“Jika kamu tidak lagi berminat untuk meneruskannya, ia akan mula mengganggu pasukan. Saya realistik mengenai bagaimana perkara ini boleh berubah dengan pantas.

Southgate yang mengambil alih tugas menguruskan England secara sepenuh masa pada 2016 memiliki kontrak sehingga 2022 dan dia berjaya membawa pasukannya mara ke separuh akhir Piala Dunia Russia, tahun lalu.

Selain itu, dia juga berjaya memimpin England menamatkan saingan kelayakan Euro 2020 selaku juara kumpulan yang meletakkan Three Lions selaku pasukan pilihan.

Di Euro 2020, England dijadual mengharungi perlawanan peringkat kumpulan di Wembley, yang turut akan menjadi venue kepada aksi separuh akhir dan final.

Justeru, Southgate berkata dia sedar dengan jangkaan tinggi diletakkan di bahunya..

“Kami menangani jangkaan ini dengan baik sejak 18 bulan lalu,” katanya. “Kami tidak terganggu dengannya ketika perlawanan kelayakan di mana pada sebelum ini, wujud ketegangan membabitkan prestasi dan gaya permainan.

“Mengesahkan kelayakan adalah kegembiraan yang kecil kerana saya menjangkakan kami menang perlawanan ini dan saya sentiasa melihat bagaimana untuk menjadi lebih baik. Bagi saya, ia adalah mengenai apa yang berlaku selepas ini dan saya tahu kami sentiasa akan diadili oleh kejohanan pada musim panas nanti.” - Reuters

Berita Harian X