Selasa, 19 November 2019 | 10:19pm
Gambar fail, Luis Enrique. - Foto REUTERS

Enrique kembali bimbing Sepanyol

MADRID: Luis Enrique kembali dilantik sebagai pengendali Sepanyol, selepas melepaskan jawatan itu pada Jun kerana anak perempuannya menghidap kanser, kata presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol Lusi Rubiales hari ini.

Rubiales berkata Robert Moreno, bekas penolong jurulatih yang membimbing Sepanyol dalam kelayakan Euro 2020 selepas pemergian Enrique, mahu melepaskan tanggungjawab itu supaya dia dapat kembali.

Anak Enrique, Xana meninggal dunia September lalu.

“Hari ini kami mengesahkan yang Luis Enrique kembali sebagai jurulatih,” kata Rubiales.

“Semua orang tahu yang jika Luis Enrique mahu kembali, pintu pasukan kebangsaan sentiasa terbuka untuknya.”

Moreno, yang membawa pasukan memenangi tujuh perlawanan dan dua seri dalam kejayaan selesa Sepanyol layak ke kejohanan itu tahun depan, berkata dia akan memberi ruang jika Enrique mahu kembali.

Moreno tidak bercakap kepada media selepas kemenangan 5-0 pasukannya ke atas Romania semalam, dan dilaporkan berlaku perselisihan dengan Enrique di mana dia tidak akan kembali sebagai penolong jurulatih.

Rubiales mengesahkan Enrique, 49, bekas pengendali Barcelona, mempunyai kontrak sehingga Piala Dunia Qatar 2022, dan akan kekal tanpa mengira prestasi pasukan di Euro 2020. – REUTERS

Berita Harian X