Rabu, 20 November 2019 | 6:57am
Aaron Ramsey (kiri) dan Gareth Bale meraikan jaringan ketika aksi bertemu Hungary di Stadium Cardiff City. - Foto Reuters
Pemain Wales meraikan kejayaan menewaskan Hungary 2-0 di Cardiff. - Foto EPA
Pemain Hungary, Zsolt Nagy (kanan) mengasak pemain Wales, Gareth Bale dalam saingan Kumpulan E, Kelayakan Euro 2020 di Cardiff. - Foto EPA
Penyokong Wales menyalakan suar di Stadium Cardiff City. - Foto AFP

Gol Ramsey bawa Wales ke Euro 2020

CARDIFF, United Kingdom: Ryan Giggs memuji Wales yang layak ke Euro 2020 sebagai satu daripada yang terbaik dalam hidupnya selepas dua jaringan Aaron Ramsey membantu mereka menewaskan Hungary 2-0 di Cardiff.

Pemain tengah Juventus itu pertama kali memulakan saingan dalam kempen kelayakan kerana kecederaan namun menunjukkan betapa dia amat diperlukan Wales apabila meledak pada awal kedua-dua babak.

Kemenangan bermakna Giggs, yang tidak pernah berpeluang mewakili negaranya dalam kejohanan utama antarabangsa sepanjang kariernya, boleh memimpin skuadnya ke kejohanan Eropah musim panas nanti.

“Ia yang terbaik,” kata Giggs, yang menang 25 trofi utama bersama Manchester United.

“Ia satu daripada hari terbaik dalam hidup saya.”


Ryan Giggs berjabat tangan dengan jurulatih Hungary, Marco Rossi selepas tamat perlawanan. - Foto Reuters

Wales mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah pada 2016 dan untuk menyamai pencapaian itu tahun depan pastinya ujian besar namun mereka dilihat mampu melakukannya apabila Ramsey digandingkan dengan Gareth Bale.

Dua bintang utama Giggs itu digabungkan secara bijak untuk gol pembukaan selepas 15 minit apabila Ramsey menanduk hantaran lintang sempurna Bale dari kanan.

“Saya banyak terlepas kempen tetapi ia berbaloi dapat menjaringkan beberapa gol malam ini,” kata Ramsey kepada Sky Sports.

“Kami merasainya di Perancis (Euro 2016). Kami memberi inspirasi buat negara ketika kami beraksi di sana jadi kami mahu melakukannya sekali lagi.” - AFP


Wales layak ke Euro 2020 selepas menewaskan Hungary 2-0 di Cardiff. - Foto Reuters

Berita Harian X