Rabu, 20 November 2019 | 7:23am
Tottenham Hotspur memecat Mauricio Pochettino selepas enam bulan mengetuai kelab itu ke final Liga Juara Juara dan lima tahun menjalankan tugas. - Foto fail Reuters

Tottenham pecat Pochettino

LONDON: Tottenham Hotspur memecat Mauricio Pochettino selepas enam bulan mengetuai kelab itu ke final Liga Juara-Juara dan lima tahun menjalankan tugas, sambil menjelaskan ia disebabkan permulaan musim yang mengecewakan.

Pengendali dari Argentina itu dilantik oleh kelab utara London itu pada 2014 selepas Tottenham menukar beberapa pengurus bagi mengharungi Liga Perdana Inggeris.

Sky Sports melaporkan, bekas pengendali Manchester United, Jose Mourinho disebut-sebut menggantikan tempatnya di Spurs.

Pochettino, 47, membawa Spurs mara ke final Liga Juara-Juara buat pertama kali musim lalu.

Dia menampilkan perkara luar biasa pada kempen Liga Juara-Juara musim lalu dengan menewaskan Ajax Amsterdam menerusi gol di tempat lawan pada aksi separuh akhir selepas ketinggalan 3-0 menerusi agregat pada separuh akhir pertama pusingan kedua, tetapi tewas 2-0 kepada Liverpool pada final di Madrid.

Dengan kelab berpindah ke stadium baharu yang indah, segala-galanya tampak penuh harapan, walaupun ada kebimbangan mengenai kekurangan aktiviti dalam pasaran perpindahan.

Bagaimanapun, beberapa bulan pertama musim ini agak mengecewakan apabila pasukan itu hanya memenangi tiga daripada 12 perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris dan berada di kedudukan ke-14.

Mereka juga dibelasah 7-2 oleh Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara dan tersingkir daripada Piala Liga oleh pasukan divisyen keempat Colchester United.

Pembantu Pochettino, Jesus Perez dan kakitangan lain juga dilepaskan daripada tugasan mereka, kata kelab berkenaan dalam kenyataan.

“Kami sangat keberatan untuk membuat perubahan ini dan bukannya keputusan yang diambil oleh Ahli Lembaga secara sambil lewa atau tergesa-gesa," kata Pengerusi Tottenham, Daniel Levy.

“Malangnya keputusan domestik pada akhir musim lalu dan permulaan musim ini amat mengecewakan. - Reuters

Berita Harian X