Rabu, 20 November 2019 | 10:54am
Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Cheng Hoe merendah diri minta pemain fokus baki tiga perlawanan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberikan setinggi pujian dan penghargaan terhadap anak buahnya berikutan kemenangan 2-0 terhadap Indonesia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi,

Beliau memuji semua pemain Harimau Malaya, termasuk pengganti penjaga gol Mohd Farizal Marlias yang memainkan peranan penting mereka sehingga mencipta kemenangan bersejarah dua kali berturut-turut selepas menewaskan pasukan dalam ranking 171 dunia itu dalam perlawanan pembukaan di Jakarta pada 5 September lepas.

Mohd Farizal bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti oleh pemain naturalisasi Indonesia Osas Marvelous Ikpefua pada minit ke-83 setelah Febri Hariyadi dijatuhkan dalam kotak penalti.

Sungguhpun mencapai kemenangan, jurulatih berusia 51 tahun itu tetap merendah diri dan berasakan anak buahnya harus meningkatkan persembahan dalam menghadapi tiga lagi baki perlawanan dalam kelayakan Kumpulan G tahun hadapan.

“Sebagai jurulatih, saya dapat melihat banyak perkara positif dalam pasukan kita, dan bagi pemain, kita perlu terus memperbaiki dan memberi tumpuan untuk tiga perlawanan seterusnya, dan jika anda melihat peluang (dalam perlawanan), jadi kita harus berusaha keras dan bercita-cita untuk menjadi yang kedua terbaik dalam Kumpulan G,” katanya pada persidangan akhbar pasca perlawanan.

Pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid mengikat perlawanan dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-29 dan ke-72 untuk merangkul kemenangan ketiga daripada lima perlawanan dan memacu Malaysia ke tempat kedua dengan sembilan mata.

Bagaimanapun, Vietnam masih berada di puncak kumpulan walaupun mereka seri tanpa jaringan menentang Thailand dalam perlawanan Kumpulan G yang lain di Hanoi.

Cheng Hoe mendedahkan bahawa beliau perlu mencari pilihan terbaik untuk menggantikan pemain tengah, Brendan Gan yang akan terlepas perlawanan kelayakan yang akan datang menentang United Arab Emirates (UAE) di Dubai pada 26 Mac 2020 selepas menerima dua kad kuning.

Dalam pada itu, pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui pemain skuad Garuda bermain dengan baik, namun kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang menyaksikan mereka tewas buat kali kelima berturut-turut dalam kempen kelayakan pada kali ini.

Ia sekali gus hampir pasti menutup peluang mereka layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.

“Dua gol dicipta Malaysia adalah ‘hadiah’ daripada pemain saya sendiri tapi saya tabik hormat terhadap kerja keras pemain yang sudah menjalankan tugas, sesuai dengan apa yang kita rencanakan dari awal (permainan).

“Walaupun hasilnya tidak baik, saya ucap selamat kepada Malaysia yang menguasai permainan, tetapi lebih banyak peluang dan lebih berkesan,” jelas bekas pemain antarabangsa Indonesia itu.

Berkongsi pandangan sama adalah Febri yang mengakui Malaysia beraksi lebih baik, dan berhak mendapatkan kemenangan pada perlawanan berkenaan.

Pemain sayap Persib Bandung itu, pada masa sama, optimis skuad Garuda mampu bangkit dalam tiga baki perlawanan kelayakan pada tahun depan, iaitu menentang Thailand pada 26 Mac 2020, Emiriah Arab Bersatu (31 Mac 2020), dan Vietnam pada 4 Jun 2020.

“Pertama kali, saya ucap selamat yang bisa memenangkan pertandingan, yang jelas pasukan sudah bekerja semaksimal mungkin di lapangan, dan tentu kita tahu hasil tidak memuaskan,” kata Febri. – BERNAMA

Berita Harian X